Asia AFC U23 Championship

Piala AFC B-23: Malaysia cipta kejutan menentang Arab Saudi, berjaya mara ke suku akhir

Malaysia telah berjaya mencipta sejarah di China selepas menewaskan Arab Saudi 1-0 untuk merangkul slot suku akhir buat kali pertama di pentas kejohanan AFC B-23 tahun.

Walaupun berdepan dengan gergasi bolasepak timur tengah, skuad Datuk Ong Kim Swee menunjukkan persembahan yang cukup menakjubkan di Stadium Kunshan dan berjaya meraih tiga mata melalui gol yang dijaringkan oleh Daniel Amier pada babak pertama.

Ong membuat satu pertukaran daripada skuad yang berjaya seri 1-1 menentang Jordan – Kogileswaran dibawa masuk untuk menggantikan Jafri Chew dalam kesebelasan utama.

Sebelum perlawanan ini, Ong berjanji bahawa anak buahnya akan menyerang Arab Saudi dan itu yang ditunjukkan oleh kesebelasan utama Malaysia dari minit pertama. Kogi, Akhyar dan Safawi bekerja dengan cukup keras di bahagian serangan untuk menekan pertahanan Arab Saudi secara agresif.

Skuad Daniel Teglia mendominasi tempo perlawanan tetapi mereka jarang berjaya menembusi barisan pertahanan Malaysia, yang diketuai dengan cemerlang oleh Adam Nor Azlan.

Pada minit ke-28, melalui serangan ‘counter-attack’, Malaysia berjaya membuka tirai jaringan. Daniel Amier menyudahkan peluang yang terhidang di kotak penalti Arab Saudi dengan sempurna untuk memberikan skuad OKS kelebihan 1-0.

Arab Saudi mencuba pelbagai kaedah untuk mencari gol penyamaan sepanjang baki babak pertama dan juga babak kedua, namun barisan pemain Malaysia, terutamanya di bahagian tengah dan juga bahagian pertahanan, cemerlang dalam mengekang sebarang kemaraan pihak lawan.

Keputusan ini bermakna Malaysia menduduki tempat ke-2 di Kumpulan C dengan empat mata daripada tiga perlawanan dan mereka akan mengiringi juara kumpulan, Iraq ke peringkat suku akhir.

Sebagai naib juara kumpulan C, Malaysia akan berdepan dengan juara Kumpulan D di Stadium Kunshan pada 20 Januari.