Asia AFC U23 Championship

Usah gentar! – Ini nasihat Khairy Jamaluddin untuk skuad B-23 Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin berpendapat bahawa anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa gugup apabila mereka turun berdepan dengan Korea Selatan, Sabtu ini.

Malaysia berjaya layak ke peringkat suku akhir Piala AFC B-23 tahun buat kali pertama selepas kemenangan 1-0 mereka ke atas Arab Saudi tempoh hari dan bagi Khairy, itu merupakan bukti bahawa skuad muda Harimau Malaya ini mampu memberi cabaran sengit kepada gergasi Asia yang lain.

“Saya harap pemain tak gentar dengan Korea Selatan sebab kita sudah buktikan dapat menundukkan antara pasukan terbaik di Asia iaitu Arab Saudi. Ini menunjukkan sekiranya kita ada keinginan untuk menang, apa saja kemungkinan boleh berlaku,” ujar Khairy, menurut laporan Arena Metro.

“Saya harap ini akan memberi keyakinan tambahan bahawa mereka tak perlu takut untuk menghadapi siapa sahaja di Kejohanan AFC B-23 itu.

“Saya melihat sistem permainan yang digunakan Kim Swee sangat berkesan, sebab kita tak boleh menang kalau mengikut corak permainan pasukan lawan kerana Arab Saudi ini pasukan yang sangat bagus. Tetapi kita dapat melaksanakan corak permainan kita dan pemain sangat berdisiplin.

“Jadi, pesanan saya kepada pemain, kekalkan disiplin hingga tiupan wisel terakhir dan percaya apa saja kemungkinan itu dapat dicapai kerana sekali kita menang dengan pasukan lebih baik, tidak mustahil ia boleh berulang lagi,” tambah Khairy.

Pertembungan suku akhir di antara Malaysia dan Korea Selatan dijadualkan berlangsung di Stadium Kunshan pada jam 4.00 petang, Sabtu ini.