Luar Negara

Giorgio Chiellini: Identiti bolasepak Itali dirosakkan oleh Pep Guardiola

Bintang pertahanan Juventus, Giogio Chiellini berpendapat bahawa falsafah bolasepak Pep Guardiola telah memainkan peranan yang besar dalam merosakkan identiti bolasepak Itali semenjak jurulatih Sepanyol itu mencipta kejayaan bersama Barcelona.

Skuad kebangsaan Itali gagal layak ke Piala Dunia Russia 2018, manakala kelab-kelab Itali sering mengalami masalah prestasi ketika berentap di pentas Europa League atau Liga Juara-Juara Eropah. Dan Chiellini berpendapat bahawa segala masalah ini berpunca daripada kegilaan dunia bolasepak terhadap falsafah bolasepak yang dipopularkan oleh Guardiola.

“Pep Guardiola telah merosakkan identiti seorang pemain pertahanan Itali. Dia seorang jurulatih yang bagus dan mempunyai minda yang mengagumkan. Tetapi ramai jurulatih Itali cuba meniru falsafah bolasepak Pep dan akibatnya, kita sudah kehilangan identiti bolasepak Itali,” kata Chiellini, menurut laporan Daily Mail.

“Dulu kita ada Paolo Maldini, Franco Baresi, Fabio Cannavaro, Alessandro Nesta, Giuseppe Bergomi, Claudio Genrile, Gaetano Scirea. Tetapi di antara 1984 dan 1995, kita hanya berjaya menghasilkan Leonardo Bonucci.

“Dalam masa 10 tahun, kita tidak berjaya melahirkan sebarang pemain pertahanan yang bagus. Saya berharap kita boleh mula fokus terhadap pembinaan semula identiti bolasepak Itali. Kegagalan kita untuk layak ke Piala Dunia merupakan bukti masalah yang dialami,” tambah Chiellini.

Saksikan perlawanan Serie A yang terpilih secara ‘LIVE in HD’ melalui platform SportsFix. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sportsfix.tv