Malaysia Liga Super Malaysia

FAM arah Perak turun menentang PKNS tanpa penyokong

Perak akan turun berdepan dengan PKNS FC di laman sendiri pada hujung minggu ini, namun mereka akan bermain tanpa sebarang penyokong di Stadium TUDM, Lumut.

Berdasarkan mesyuarat yang diadakan 20 Disember 2017, Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan untuk menghukum Perak atas insiden yang berlaku di antara penyokong mereka dan penyokong JDT di Stadium Ipoh, tahun lepas.

Meskipun, The Bos Gaurus akhirnya diberi kelulusan untuk beraksi di Lumut pada waktu malam, perlawanan pertama mereka sebagai tuan rumah akan berlangsung tanpa sebarang keriuhan penyokong.

“Stadium TLDM, Lumut telah diluluskan untuk bermain pada waktu malam. Pemeriksaan kali ke-2 telah dibuat pada 5 Februari yang lepas oleh Unit Pertandingan FMLLP. Tahap pencahayaan lampu limpah telah melepasi 1200 lux seperti yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun mengikut Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM bertarikh 20 Disember 2017, untuk perlawanan menentang PKNS FC minggu ini, pasukan Perak akan beraksi tanpa penyokong,” kata FMLLP, melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook mereka hari ini.

Perak sudah berjaya mengumpul empat mata daripada dua perlawanan pertama mereka di Liga Super 2018 setakat ini. Selepas mengikat Pahang 0-0 di Kuantan hujung minggu lepas, anak buah Durakovic menumpaskan Kedah 2-1 di Alor Setar malam semalam.