Malaysia Liga Super Malaysia

FAM mahu jadi tuan rumah AFC B-23, ini komen Datuk Ong Kim Swee

Ketua jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee bersetuju dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membida hak menjadi tuan rumah untuk kejohanan AFC B-23 tahun yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2020.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan bahawa Presiden FAM, Tunku Ismail berkenan untuk melihat Malaysia menjadi tuan rumah kerana empat pasukan terbaik di pentas kejohanan tersebut akan menerima slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Bagi saya ini adalah satu usaha yang baik oleh FAM di mana mahu membida untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir kejohanan itu. Jika berjaya, selaku tuan rumah kita tak boleh terlalu selesa kerana ia bukan jaminan untuk kita mendapat kejayaan tapi sekurang-kurangnya dengan sokongan padu penyokong, ia akan memberi impak berlainan kepada pemain kita,” kata Datuk Ong Kim Swee kepada Arena Metro.

“Jelas langkah ini yang turut dipersetujui oleh Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuktikan FAM sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan itu. Meskipun kita masih ada tempoh dua tahun, kita mesti membuat perancangan awal dan langkah pertama adalah dengan membida hak selaku tuan rumah,” tambah Ong.

Skuad Ong Kim Swee berjaya melakar sejarah di bumi China beberapa minggu lepas apabila mara ke peringkat suku akhir di pentas kejohanan AFC B-23 buat kali pertama, sebelum tewas tipis di tangan Korea Selatan.