“Rekod Kedah semenjak beberapa tahun lepas cukup positif dan mereka bukan sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan.”
Itu respon yang diberikan oleh Rob Cornthwaite apabila kami bertanya tentang perlawanan Liga Super di antara Kedah dan Perak di Stadium Darul Aman, malam ini. Tonggak import The Bos Gaurus itu berpendapat bahawa keserasian di antara pemain Kedah dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Akhyar Rashid di pentas AFC B-23 tahun mampu menjadi tonik penting buat skuad Helang Merah.
“Barisan pemain Kedah ini merupakan sebuah kumpulan yang cukup serasi dengan satu sama lain. Mereka sudah bermain sebagai sebuah pasukan untuk beberapa tahun dan itu menjadikan mereka sebuah pasukan yang cukup bahaya,” kata Cornthwaite kepada Football Tribe Malaysia.
“Pertembungan malam ini dijangka sengit tetapi saya yakin bahawa kami sudah bersedia untuk berdepan dengan cabaran ini. Saya masih belum berkesempatan melihat aksi Akhyar Rashid, tetapi selepas membaca dan mendengar tentang impaknya di Kejohanan AFC B-23 baru-baru ini, saya percaya kami perlu berwaspada,” tambah Cornthwaite.
Bekas pemain Selangor itu menyertai Perak beberapa minggu lepas dan berjaya membuat penampilan pertama untuk skuad The Bos Gaurus ketika mereka turun bertemu dengan Pahang minggu lepas. Meskipun hanya mampu seri tanpa jaringan, Cornthwaite cukup teruja dengan corak permainan pasukannya di Kuantan dan percaya bahawa skuad ini mempunyai kebolehan untuk mencipta kejayaan di bawah Durakovic.
“Saya cukup gembira untuk kembali beraksi di Malaysia. Perlawanan menentang Pahang tempoh hari sememangnya sukar tetapi kami bermain dengan positif di atas padang. Saya juga gembira dapat membantu Perak mendapatkan ‘clean sheet’ dalam perlawanan pertama.
“Dari segi kebolehan, skuad ini cukup bagus. Tetapi faktor yang membuatkan saya lebih yakin adalah kegigihan yang ditunjukkan oleh pemain di setiap sesi latihan dan juga di atas padang. Dan setiap kali saya bermain di bawah Mehmet, keakraban di antara para pemain tidak boleh dinafikan.”
Selain Cornthwaite, seorang lagi pemain yang turut membuat penampilan pertama untuk Perak pada hujung minggu lepas adalah Brendan Gan. Pemain kacukan Australia itu kembali beraksi buat kali pertama sejak mengalami kecederaan ACL pada September 2016 dan bagi Cornthwaite, Brendan mampu menjadi tonggak yang penting Perak musim ini.
“Perjalanan yang ditempuhi oleh Brendan Gan sepanjang proses pemulihan bukan suatu perkara yang mudah, jadi saya rasa semua orang di Malaysia cukup gembira untuk melihat aksi Brendan di atas padang tempoh hari. Dia bermain dengan efektif di bahagian tengah dan saya rasa Brendan akan menjadi antara pemain paling penting untuk kami di 2018,” tambah Cornthwaite.
Perlawanan Liga Super di antara Kedah dan Perak dijadualkan bermula pada jam 9.00 malam ini. Anda boleh menyaksikan perlawanan tersebut di TV9 ataupun melalui saluran Football Malaysia di platform iflix.