Luar Negara

Patrice Evra bakal gabung kembali dengan David Moyes

Kali terakhir Patrice Evra bermain di bawah kendalian David Moyes, Manchester United merekodkan persembahan terburuk mereka dalam liga selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris musim sebelum itu.

Tapi nampaknya itu, sekali pun tidak menjadi masalah buat bekas pemain pertahanan Manchester United dan Juventus itu apabila dia dikhabarkan akan kembali bersatu dengan David Moyes, kali ini di West Ham.

Pemain yang cukup terkenal dengan ayat “I Love This Game” itu kini merupakan pemain bebas selepas dilepaskan oleh Marseille gara-gara tendangan kungfu yang dilakukannya kepada seorang penyokong sebelum perlawanan menentang Vitoria Guimarares di Portugal. Kesan daripada aksi ganasnya itu, dia didenda sebanyak £9,000 dan digantung daripada beraksi dalam kejohanan Eropah hingga bulan Jun. Namun, kini Evra sudah boleh beraksi jika benar dia akan menyertai West Ham.

Bekas pemain Perancis itu dikhabarkan sudah melawat pusat latihan West Ham dan semakin hampir untuk menandatangani kontrak untuk menyertai pasukan London itu.

Evra meninggalkan Manchester United untuk menyertai Juventus selepas musim 2013/14 dan telah memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Red Devils sebelum membantu Juventus menjuarai dua kejuaraan Seria A dan Coppa Italia.