Luar Negara

Arsenal dan Wenger memperjudi nasib dengan pembelian Aubameyang?

Jika ada mana-mana perpindahan yang menggambarkan kumpulan penyokongnya, ianya adalah perpindahan Pierre-Emerick Aubameyang ke Arsenal. Tolak tepi apa yang berlaku sebelum dia meninggalkan Dortmund, Aubameyang tetap merupakan salah seorang bintang bolasepak Eropah dan statusnya sebagai selebriti bolasepak dapat membantu Arsenal yang kehilangan Alexis Sanchez.

Aubameyang merupakan pemain yang sering didambakan oleh peminat Arsenal . Setiap kali jendela perpindahan musim panas sejak lima tahun lepas, Arsenal telah dikaitkan dengan ramai penyerang yang kurang terkenal, tolak tepi kehadiran Alexandre Lacazette musim ini, setiap musim panas mereka akan terus hampa dan terpaksa menerima hakikat tiada penyerang bintang akan dibawa masuk.

Ini merupakan urusan paling aneh untuk Wenger: Dijalankan di pertengahan musim, bayaran rekod perpindahan kelab, dan seorang pemain di kemuncak prestasi. Aubameyang tidak dibeli untuk masa hadapan, tetapi sekarang.

Jika semuanya berjalan lancar, dia akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Dia seorang pemain pantas, dikatakan sesuai dengan taktikal Arsenal dan mampu menyudahkan semua bantuan hantaran Mesut Ozil serta seorang lagi pemain baru Arsenal, Henrikh Mkhitaryan yang mempunyai hubungan baik dengannya di Dortmund sebelum ini.

Dalam isu perpindahan penyerang hebat ini, ada satu masalah yang mungkin dipandang sepi. Salah satu darinya adalah Lacazette, pemain yang dilihat akan diketepikan untuk Aubameyang. Dengan Aubameyang sudah pasti mengetuai serangan Arsenal, dan taktikal Arsenal yang jarang bermain dengan dua penyerang, nampaknya dia perlu bersaing merebut posisi di belakang Aubameyang bersama Ozil dan Mkhitaryan. Ini menyebakan posisi penyerang Perancis – dan masa depannya di Arsenal- mula kelihatan kabur.

Untuk menguruskan ego dalam pasukan sememangnya rumit, tetapi setakat ini, tiada pasukan pernah mengalami situatsi terlampau ramai penyerang – dan, sebenarnya masalah yang dialami Lacazette tidaklah terlalu teruk jika dibandingkan dengan Danny Welbeck. Dengan kehadiran Aubameyang, semakin sukar untuk kita lihat Welbeck bermain dalam skuad utama Arsenal.

Hari-hari terakhir Alexis Sanchez di kelab memang teruk. Di saat komitmennya mula goyah dan sikap buruknya mula terserlah, suasana di kalangan pemain menjadi semakin teruk. Sanchez tidak mahu bermain untuk Arsenal dan rakan sepasukannya dapat merasakan rasa acuh tidak acuhnya- sehingga perpindahan keluarnya disambut dengan kelegaan. Kelibat Sanchez tidak dirindui para pemain dan dapat dilihat tiada seorang pun pemain yang mengucapkan selamat tinggal kepada pemain Chile itu di media sosial jika dibandingkan dengan pemergian Theo Walcott. Namun, pemergian Sanchez sedikit sebanyak telah menghilangkan aura negatif dalam pasukan dan skuad nampaknya lebih bertenaga dan positif sekarang.

Akan tetapi, Aubameyang tidak banyak bezanya dengan Sanchez. Kerjayanya di Borussia Dortmund sejak akhir akhir ini diselimuti pelbagai masalah disiplin. Kelab Jerman itu terpaksa menyisihkan pemain itu dari tiga perlawanan skuad utama dalam tempoh 12 bulan, namun terpaksa menjualnya kerana merasakan dia akan merosakkan suasana di dalam kem Dortmund.

Pertukaran kelab sering memberikan nafas baru kepada seseorang pemain, tetapi pastinya ada yang melihat Wenger sebenarnya menyelesaikan satu masalah tetapi pada masa yang sama menggantikannya dengan satu masalah yang lain. Ada persamaan di antara Arsenal dan Dortmund, di mana kedua-dua pasukan ini seakan-akan sudah jatuh dan bukan lagi kuasa besar seperti dahulu. Agak sukar untuk mereka menarik atau menahan pemain yang mahu lebih berjaya dalam kerjaya mereka.

Akan tetapi, mungkin Wenger telah menemui seorang pemain yang dia rasakan lebih mudah untuk berkerjasama dan berkongsi ideologi yang sama dengannya. Pemain ini walaupun bermasalah, tetapi Wenger merasakan mampu membantu pasukannya berbanding Alexis Sanchez.

Walaupun kita mengenali Aubameyang sebagai seorang pemain yang hebat, dia kini sudah menghampiri usia 30 tahun. Aubameyang dikenali sebagai penyerang yang cukup terkenal dengan kepantasannya, namun kepantasan ini biasanya akan hilang dengan usia. Adakah ini satu pembelian yang bijak untuk Arsenal? Di saat Arsenal membuat bidaan untuk mendapatkan Aubameyang, agak aneh apabila tiada pasukan besar lain di Eropah yang cuba memancing penyerang itu walaupun sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Real Madrid. Sudah pasti ada banyak kelab besar Eropah yang mampu menyaingi Arsenal yang kini berada di tangga keenam liga dan beraksi di Liga Europa, tetapi hakikatnya tiada yang berminat dengan Aubameyang selain Arsenal.

Ini menimbulkan satu persoalan: Apa yang membuatkan semua pasukan enggan mendapatkannya?

Urusan perpindahan Giroud ke Chelsea juga menambahkan persoalan. Dia mungkin tidak sesuai sebagai penyerang utama untuk pasukan yang ingin merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tetapi Giroud merupakan seorang pemain yang sesuai sebagai pilihan kedua dan menukar taktikal pasukan bila diperlukan. Arsenal telah membuang penyerang pilihan kedua mereka untuk mendapatkan seorang pemain yang akan menjadi penyerang utama mereka.

Kesimpulannya, ini dilihat satu percubaan berani mati oleh Wenger: Dia menjual seorang pemain yang cukup setia dengan pasukan(Giroud) , mengenepikan seorang penyerang berbakat ke bangku simpanan (Lacazette) , semuanya demi seorang penyerang yang prolifik tetapi juga mempunyai masalah disiplin. Ianya satu penambahan yang memang mengujakan dan pastinya sukar ditolak, tetapi mempunyai risiko yang cukup tinggi.

Oleh Seb Stafford-Bloor (www.tifofootball.com)