Luar Negara

Theerathon teruja untuk beraksi bersama Vissel Kobe

Kelab Jepun, Vissel Kobe telah secara rasmi memperkenal pemain kebangsaan Thailand, Theerathon Bunmathan yang dipinjamkan daripada kelab Thailand Muangthong United.

Dalam majlis tersebut, Vissel Kobe turut mendedahkan bahawa Theerathon akan menyarung jersi nombor 30 untuk pasukan tersebut.

Theerathon dalam temuramah yang disiarkan di dalam laman web rasmi Vissel Kobe menyatakan bahawa dia mendapatkan nasihat daripada rakan senegaranya, Chanatip Songkrasin yang terlebih dahulu berkelana ke Jepun.

“Sebelum saya ke Vissel Kobe, saya mendapatkan nasihat daripada Chanatip berkenaan corak permainan di Jepun seperti kelajuan permainan, pergerakan, pertahanan dan juga Chanatip menceritakan mengenai budaya Jepun yang membuatkan saya lebih teruja untuk beraksi di Jepun.”

Pemain pertahanan Thailand itu juga menyatakan keterujaannya untuk beraksi bersama bekas pemenang Piala Dunia bersama Jerman, Lukas Podolski.

“Podolski merupakan pemain dengan ciri kepimpinan dan saya sangat teruja untuk beraksi bersamanya. Rakan sepasukan yang lain juga telah menerima kedatangan saya dengan baik. Saya kini telah lebih rapat dengan pemain pertahanan seperti Kuni (Kitamoto Hisahito) dan Watabe (Hirobumi).”

Selain Theerathon dan Chanatip, penyerang Thailand, Teerasil Dangda juga telah menyertai kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dan Theerathon merasakan mereka mampu menaikkan skuad kebangsaan Thailand menerusi pengalaman mereka di Jepun.

“Dengan lebih ramai pemain Thailand berkelana ke Jepun, saya rasa ianya bagus untuk kami ketika beraksi di Piala Asia 2019 nanti. Dengan bermain di peringkat tertinggi di Jepun, pasukan kami akan menjadi lebih kuat dan mendapat tempat yang lebih baik berbanding sebelum ini. Peminat J-League di Thailand juga meningkat selepas kami beraksi di J-League.”