Asia Liga Super Malaysia

“Saya tahu apa yang perlu dilakukan,” ujar TMJ selepas kekalahan JDT di tangan Muangthong

Pemilik Johor Darul Ta’azim, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim masih bangga dengan pencapaian kelab itu, meskipun mereka tewas 2-5 di tangan Muangthong United dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam semalam.

Skuad Ulisses Morais menunjukkan aksi yang mengecewakan di atas padang dan hampir tewas 0-5, sebelum Jorge Pereyra Diaz mengurangkan defisit skor dengan dua gol pada waktu tambahan.

TMJ mengakui bahawa kekalahan tersebut merupakan ‘wake-up call’ yang penting untuk barisan pemain JDT, namun dia tetap bangga bahawa skuad Southern Tigers mampu beraksi di pentas yang cukup berprestij, iaitu pentas ACL.

“Saya berasa bangga JDT bermain di peringkat tertinggi ini dan menjadi satu-satunya kelab dalam negara yang telah berada di tahap ini. Saya telah berbual dengan jurulatih selepas perlawanan menerusi telefon dan mengatakan bukan saya suka dengan kekalahan ini tetapi keputusan ini telah memberi ‘wake-up call’ kepada para pemain,” kata TMJ, melalui laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

“Kita tidak boleh berasa selesa dan terlalu yakin serta terus bekerja keras. Ini adalah proses jangka panjang dan saya yakin tahun ini kita akan lakukan yang terbaik dan pasukan ini akan belajar dari kesilapan. Walaubagaimanapun kita harus bangga kerana kita telah berada di tahap yang pasukan lain tiada.

“JDT tetap menjadi tanggungjawab saya dan saya rasa seluruh barisan kejurulatihan termasuk Pengarah Sukan saya tahu apa nak dilakukan selepas ini. Perjalanan kita masih jauh lagi dan kita tidak perlu berhenti hingga kita mencapai matlamat kita,” tambah Tunku Ismail.

Kekalahan malam semalam bermakna JDT akan berentap di saingan Piala AFC sekali lagi tahun ini. Mereka telah dimasukkan ke dalam Kumpulan H bersama Persija Jakarta, Song Lam Nghe An dan juga Tampines Rovers.