Asia AFC Champions League

ACL: Muangthong tampil dengan aksi lima bintang untuk menewaskan Johor Darul Ta’azim

Harapan Johor Darul Ta’azim untuk beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia dihancurkan oleh Muangthong United petang malam ini selepas kelab Thailand itu meraih kemenangan 5-2 ke atas juara Liga Super Malaysia.

Kesebelasan utama JDT untuk perlawanan ini mengandungi beberapa kejutan. Bekas pemain Kedah, Syafiq Ahmad ditugaskan untuk mengemudi jentera serangan mereka di samping Jorge Pereyra Diaz dan juga Hazwan Bakri.

Manakala Bruno Soares dan Fadhli Shas pula digandingkan di bahagian pertahanan JDT. Dan seperti yang dijangkakan, Hariss Harun, Safiq Rahim dan juga Natxo Insa menjadi tonggak utama mereka di bahagian tengah.

Namun, Muangthong hanya mengambil masa tujuh minit untuk membuka tirai jaringan melalui gol Saraach Yooyen, sebelum Tristan Do meningkatkan kelebihan jaringan kelab Thai itu pada minit ke-22, dengan jaringan penyudah yang bagus.

Tujuh minit selepas itu, terjahan Bruno Soares ke atas salah seorang penyerang Muangthong menghadiahkan sepakan penalti kepada Muangthong dan Heberty berjaya menewaskan Izham Tarmizi untuk menjadikan skor perlawanan 3-0.

Pasukan Thailand itu membawa momentum ini ke babak kedua, dan Theerathon Bunmathan, pemain yang akan menyertai Vissel Kobe di J.League selepas perlawanan ini, berjaya meledak untuk memberi Muangthong kelebihan 4-0 pada minit ke-56.

Enam minit kemudian, Heberty menyudahkan sepakan percuma yang cukup cantik untuk mendapatkan gol peribadi kedua dan sekaligus menjadikan skor perlawanan 5-0.

Skor tersebut kekal sehingga penghujung 90 minit, sebelum Jorge Pereyra Diaz menewaskan gawang gol Muangthong dua kali dalam masa tambahan untuk mengurangkan defisit. Namun, Muangthong tetap berjaya meraih kemenangan 5-2 untuk mara ke peringkat play-off Liga Juara-Juara Asia.

Kelab Thai itu akan turun bertembung dengan Kashiwa Reysol di Jepun pada 30 Januari akan datang, manakala JDT pula akan beraksi di pentas Piala AFC sekali lagi tahun ini.