Vietnam telah melakar satu lagi sejarah di bumi China selepas berjaya menewaskan Qatar untuk mara ke final kejohanan AFC B-23 tahun.
Qatar membuka tirai jaringan pada minit ke-39, melalui sepakan penalti Akram Afif, namun Vietnam bangkit semula di babak kedua dan berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Nguyen Quang Hai pada minit ke-69.
Almoez Ali, antara pemain Qatar yang cukup cemerlang sepanjang kejohanan ini, meledak pada minit ke-87 untuk memberi Qatar kelebihan 2-1, tetapi kelebihan tersebut dileburkan satu minit kemudian apabila sepakan kaki kiri Quang Hai, sekali lagi menewaskan penjaga gol Qatar untuk menjadikan skor perlawanan 2-2-.
Skor tersebut kekal sehingga penghujung 90 minit dan walaupun kedua-dua pasukan bermain secara mati-matian untuk mencari gol kemenangan, perlawanan ini akhirnya terpaksa dibawa ke peringkat sepakan penalti.
Dan sekali lagi, Bui Tien Dung berjaya menjadi hero selepas menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu anak buah Park Hang-seo menjadi pasukan Asia Tenggara pertama untuk mara ke final Piala AFC B-23 tahun.
Perlawanan final dijadualkan berlangsung pada 27 Januari dan Vietnam akan bertemu dengan Korea Selatan atau Uzbekistan, bergantung kepada keputusan pertembungan separuh akhir kedua itu, malam ini.