Asia AFC U23 Championship

Ekslusif: Steve Darby tidak terkejut dengan kemenangan Vietnam ke atas Australia

“Saya tidak terkejut.”

Itu respon yang diberikan oleh seorang individu yang banyak menghabiskan masa di Asia Tenggara sebagai seorang jurulatih bolasepak, Steve Darby, apabila ditanya tentang kemenangan Vietnam ke atas Australia tempoh hari.

Skuad Park Hang-seo berjaya menumpaskan Ollyroos dengan skor 1-0 dan kemenangan tersebut dilabel sebagai antara kejutan terbesar di pentas Piala AFC B-23 tahun ini. Namun bagi Steve Darby, yang kini menetap di Vietnam, kemenangan tersebut bukan suatu perkara yang mengejutkan.

“Kemenangan yang cukup penting untuk Vietnam, tapi saya memang tak terkejut melihat persembahan mereka. Barisan pemain yang berada di dalam skuad Park Hang-seo memang cukup berkualiti. Ini merupakan barisan pemain yang juga mencipta sejarah tahun lepas selepas bermain di pentas Piala Dunia B-20 tahun,” kata Steve Darby kepada Football Tribe.

“Tempoh hari, mereka tewas di tangan Korea Selatan walaupun bermain dengan cukup baik. Jadi kemenangan mereka ke atas Australia bukan perkara yang mengejutkan saya. Vietnam bermain dengan baik menggunakan formasi 5-4-1 dan nampak bahaya dalam setiap situasi ‘counter-attack’.

“Barisan pemain ini sudah biasa bermain sebagai satu unit dan mereka mempunyai kebolehan dan potensi untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” jelas Steve.

Vietnam kini menduduki tempat ke-2 di Kumpulan D dengan tiga mata daripada dua perlawanan dan sekiranya mereka menewaskan Syria petang esok, skuad Park Hang-seo akan mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

“Saya rasa mereka mampu mara ke peringkat suku akhir. Di sana, mereka mungkin akan menimpa masalah kerana skuad Vietnam ini mampu bermain dengan corak yang defensif. Tetapi, jika mereka perlu menyerang untuk mendapatkan gol, saya cuma risau mereka akan memberi ruang kepada pasukan lawan.

“Apa-apa pun, persembahan mereka membuktikan bahawa jurang di antara Asia Tenggara dan rantau Asia yang lain semakin kecil. Pemain bolasepak di rantau ini semakin bagus cuma persoalannya adalah, mampukah pihak pengurusan bolasepak di Asia Tenggara turut meningkatkan kualiti mereka?” tambah Steve.