Luar Negara Berita

Luqman Hakim berpuasa di Belgium selama 17 jam, sesi latihan waktu pagi

Luqman Hakim Shamsudin berkongsi pengalamannya berpuasa buat pertama kali di Belgium.

Pemain berusia 19 tahun itu berkata, beliau terpaksa menghadapi tempoh berpuasa selama 17 jam, namun itu tidak menghalangnya daripada menunaikan ibadah tersebut.

“Letih memang letih tetapi hendak buat macam mana, saya kena paksa diri juga,” katanya kepada Astro Arena.

“Kalau di Malaysia, latihan dalam bulan puasa cuma pada waktu malam tetapi di sini, kami ada latihan di sebelah pagi.

“Saya bersahur pada jam 4.00 dan pada 4.30 sudah tamat waktu bersahur. Saya hanya bersahur kurma, roti, yogurt dan air.

“Saya makan kurma untuk tenaga dan bagi saya, ia tiada masalah kerana latihan saya hanya dua jam dan boleh berehat pada sebelah petang.”

Bagaimanapun, Luqman teruja dapat berbuka puasa dengan resepi makanan Malaysia.

“Menu semasa hari pertama berpuasa, saya terasa mahu makan nasi goreng tomyam, jadi saya ke kedai Asia di sini untuk membeli apa yang patut dan masak nasi goreng tomyam bersama udang.

“Saya hendak rasa makanan Malaysia pada hari pertama untuk mendapatkan semangat.”