Liga Premier Malaysia Berita

K. Devan jadi jurulatih Negeri Sembilan buat kali ketiga

K. Devan diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Negeri Sembilan FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Ini merupakan kali ketiga Devan menjadi jurulatih di negeri kelahirannya selepas memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan pada 2004 dan kembali untuk semusim pada 2015.

Beliau meninggalkan PJ City FC setelah tiga tahun bersama pasukan Liga Super itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata keputusan itu dicapai selepas sesi temu duga jawatan berkenaan yang dikendalikan ahli jawatankuasa eksekutif persatuan itu.

“K. Devan, 59, adalah bekas pemain Negeri Sembilan dan jurulatih tempatan yang berpengalaman, selain beliau juga adalah antara jurulatih yang mengumpul trofi kejuaraan paling banyak sepanjang karier sebagai ketua jurulatih,” katanya dalam kenyataan.

“Anak kelahiran Bahau, Jempol ini telah mencapai pelbagai kejayaan dengan kelab-kelab yang pernah dibimbingnya dan saya yakin dan percaya dengan pengalaman serta pencapaian yang beliau peroleh itu dapat membimbing pasukan untuk layak ke saingan Liga Super 2022.”

PJ City dibawah kendalian Devan pada musim 2020, menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-7 dengan mengumpul 14 mata.

Beliau menggantikan jurulatih Negeri Sembilan sebelum ini, Sazali Saidon yang menamatkan saingan Liga Premier pada kedudukan kedua tercorot daripada 12 pasukan selepas mencatatkan tiga kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.