Challenge Cup Berita

PDRM dihukum, Selangor dihadiahkan kemenangan 3-0

Jawatankuasa Tatatertib FAM telah membuat keputusan menjatuhkan hukuman terhadap pasukan PDRM kerana telah didapati bersalah menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada Final 1 MFL Challenge Cup 2024-2025 menentang Selangor di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu, 15 Februari 2025.

Pada perlawanan tersebut, PDRM telah memasukkan Mohd Safiee Ahmad sebagai pemain gantian pada minit ke-58, sedangkan pemain berjersi No. 32 itu sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning iaitu pada perlawanan Suku Akhir 1 menentang Melaka dan perlawanan Separuh Akhir 2 bertemu Kedah.

PDRM telah didapati bersalah kerana melanggar Artikel 57 (berkenaan ketidaklayakkan) yang dibaca bersama Artikel 32 (berkenaan perlucutan hak) dalam Kod Tatatertib FAM apabila menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada perlawanan tersebut.

Sehubungan itu, PDRM telah dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah kalah perlawanan tersebut dengan keputusan 3-0 dan perlu membayar denda sebanyak RM3,000.

PDRM juga diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini tidak boleh dirayu.

Segala urusan melibatkan penggantungan pemain adalah di bawah kendalian FAM sepenuhnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Pada Final 1 MFL Challenge Cup 2024-2025 itu, Selangor telah menewaskan PDRM 3-2, namun selepas keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM ini, Selangor diberikan kemenangan 3-0 ke atas PDRM bagi perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada Final 2 MFL Challenge Cup 2024-2025, juga di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu, 22 Februari 2025, jam 9 malam dengan Selangor mendahului agregat 3-0.