Liga Super Malaysia Berita

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United letak jawatan

Farhan Ibrahim membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United.

Peletakan jawatan tersebut berkemungkinan disebabkan pertukaran kerajaan negeri Melaka.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada bekas Presiden Melaka United, Adly Zahari yang bertanggungjawab melantiknya dalam persatuan itu.

“Banyak yang saya belajar sepanjang tempoh terbabit, khususnya dari aspek pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi yang bukan sahaja membabitkan pemain tetapi juga pembangunan untuk jurulatih dan pengadil yang menjadi fokus saya ketika itu,” katanya kepada Arena Metro.

“Walaupun persatuan berjalan dengan kewangan yang sangat terhad, namun program pembangunan tidak pernah terhenti.”

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) dengan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada mantan Setiausaha Agung MUSA, En…

Posted by Melaka United Soccer Association – MUSA on Sunday, April 5, 2020

Farhan sebelum ini memegang jawatan Bendahari Kehormat sebelum dilantik sebagai setiausaha agung selepas kongres pemilihan pada 2018.

Farhan turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan barisan exco yang banyak membantu menjalankan urusan pentadbiran serta FAM dan MFL yang banyak membantu persatuan dari segi latihan dan kursus berkaitan pengurusan bola sepak.

“Akhir sekali, saya mengucapkan selamat maju jaya dan sentiasa mendoakan MUSA untuk terus berusaha mencapai kejayaan.”