Asia AFC U23 Championship

Piala AFC B-23: Vietnam raih kemenangan dramatik ke atas Iraq, berjaya lakar sejarah

Vietnam berjaya meraih kemenangan bersejarah ke atas Iraq di China untuk sekaligus mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC B-23 tahun.

Meskipun berdepan dengan bekas juara kejohanan tersebut, Vietnam tampil dengan aksi cemerlang sepanjang 120 minit, dan akhirnya menumpaskan Iraq 5-4 melalui sepakan penalti selepas perlawanan tersebut tamat 3-3.

Vietnam berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-12 melalui Nguyen Cong Phuong, namun pasukan Iraq, yang menewaskan Malaysia 4-1, menjaringkan gol penyamaan melalui sepakan penalti Aymen Hussein pada minit ke-29.

Skor tersebut kekal sehingga penghujung 90 minit, walaupun kedua-dua pasukan mencuba sedaya upaya untuk mencari gol kemenangan. Namun, empat minit selepas sepak mula ‘masa tambahan’, Aymen Hussein mendapatkan gol keduanya untuk memberi Iraq kelebihan 2-1.

Anak buah Park Hang-seo kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan apabila percubaan Phan Van Duc berjaya menembusi gawang gol Iraq pada minit 108. Empat minit kemudian, tandukan Ha Duc Chinh berjaya menewaskan penjaga gol Iraq untuk memberi Vietnam kelebihan 3-2.

Walau bagaimanapun, Alaa Mhawi, yang turut menjaringkan gol ketika menentang Malaysia, meledak pada minit 116 untuk memberi harapan kepada penyokong Iraq dan sekaligus membawa perlawanan tersebut ke sepakan penalti.

Bui Tien Dung akhirnya muncul sebagai hero Vietnam apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Bashar Resan dan sekaligus membantu Vietnam meraih kemenangan 5-4 untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Keputusan ini bermakna Vietnam akan turun bertembung Qatar di Pusat Sukan Olimpik Changzhou pada 23 Januari akan datang.