Malaysia Luar Negara

Bagaimana hubungan Aubameyang dan Arsenal bermula di Alor Setar, Kedah

Pierre-Emerick Aubameyang bakal menjadi pemain Arsenal dalam masa 24 jam.

Itu tajuk utama artikel yang dipaparkan oleh akhbar UK, The Sun berkenaan spekulasi yang mengaitkan Aubameyang dengan perpindahan ke Arsenal.

Menurut pelbagai laporan media di UK, Ketua Pegawai Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis kini berada di Dortmund untuk berunding dengan pihak pengurusan Dortmund dan Aubameyang dijangka akan menjadi pemain Arsenal sebelum jendela perpindahan bulan Januari ditutup.

Kredit Foto: Getty Images

Atas kertas, ini merupakan pemain yang mampu merevolusikan bahagian serangan Arsenal, terutamanya selepas penghijrahan Alexis Sanchez ke Manchester United. Aubameyang seorang pemain yang pantas, bijak mencari ruang di atas padang dan mempunyai rekod jaringan yang cemerlang.

Meskipun dibelenggu dengan pelbagai masalah disiplin di luar padang, Aubameyang sudah berjaya meledak 22 gol untuk Dortmund setakat ini, termasuk 13 gol dalam 15 perlawanan Bundesliga. Jika dia berjaya membawa momentum itu ke North London, bahagian serangan Arsenal mampu mengganas di Liga Perdana Inggeris.

HUBUNGAN AUBAMEYANG & ARSENAL

Kebolehan Aubameyang sebagai seorang pemain tidak boleh diragui and dia sudah dikaitkan dengan kebanyakan kelab-kelab gergasi di Eropah, semenjak dua-tiga tahun lepas.

Namun, penyerang Gabon ini menarik perhatian dunia bolasepak buat kali pertama pada tahun 2007, apabila kejohanan ‘Champions Youth Cup’ diadakan di Malaysia. Aubameyang bermain untuk skuad remaja AC Milan ketika itu, dan dibawa ke Malaysia sebagai penyerang utama mereka untuk kejohanan tersebut.

Milan dimasukkan ke dalam Kumpulan A, yang berpangkal di Alor Setar, bersama Flamengo daripada Brazil, Arsenal daripada England dan juga Ajax Amsterdam daripada Belanda. Semua perlawanan kumpulan ini berlangsung di stadium keramat pasukan Kedah FA, iaitu Stadium Darul Aman.

Milan turun menentang Flamengo dalam perlawanan pertama mereka pada 8 Ogos dan kelab Brazil itu pada mulanya mendahului Milan 1-0, selepas Pedro Beda menjaringkan gol satu minit sebelum tamat babak pertama. Tetapi, Aubameyang bangkit mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-57 untuk membantu skuad muda Rossoneri meraih satu mata dalam perlawanan pembuka tirai mereka.

Dua hari selepas itu, Aubameyang dan rakan sepasukannya turun menentang Ajax, dan kali ini, penyerang muda itu sekali lagi meledak pada minit ke-27 untuk membantu Milan mendapatkan kemenangan pertama mereka di Alor Setar.

Pada 12 Ogos pula, Milan turun berdepan dengan Arsenal dalam perlawanan terakhir dan tiga mata menjadi sasaran utama mereka untuk pertembungan tersebut. Skuad muda The Gunners ketika itu dibintangi oleh Vito Mannone, Armand Traore, Wojciech Szczesny dan juga Jay Simpson, tetapi mereka hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan pertama.

Arsenal seri 0-0 bersama Ajax dalam perlawanan pertama dan walaupun Jay Simpson menyudahkan gol yang cantik seawal minit ke-16 apabila mereka berdepan dengan Flamengo, dua gol yang dijaringkan oleh Kayke akhirnya membantu pasukan Brazil tersebut menumpaskan The Gunners.

Pertarungan di antara Arsenal dan Milan dijangka sengit tetapi Aubameyang akhirnya menarik perhatian ramai dengan jaringan penyudah yang cemerlang pada minit ke-30 dan gol tersebut menjadi faktor tunggal yang membezakan kedua-dua pasukan pada penghujung 90 minit. Kemenangan ini bermakna Milan sah merangkul slot peringkat kalah mata selaku naib juara Kumpulan A dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Aubameyang membawa momentum tersebut ke peringkat suku akhir, di mana kelab gergasi Jerman, Bayern Munich menanti mereka. Kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang sengit, sebelum Aubameyang meneruskan prestasi cemerlang dengan dua gol untuk membawa Milan ke peringkat separuh akhir. Malangnya bagi Milan, perjalanan mereka di Malaysia tamat di pusingan separuh akhir, walaupun Aubameyang meledak buat kali ketujuh untuk memastikan mereka hanya tewas 1-2 di tangan Juventus.

Manchester United akhirnya menjadi juara selepas berjaya menumpaskan Juventus 1-0 di perlawanan final, namun topik paling hangat selepas kejohanan tersebut tamat adalah kemunculan bintang muda baru dalam dunia bolasepak, iaitu Pierre-Emerick Aubameyang. Dengan tujuh gol dibawah namanya, Aubameyang menjadi penjaring terbanyak Champions Youth Cup dan dinobat sebagai pemenang Anugerah Roberto Bettega, atas pencapaian itu.

Penyerang muda itu kemudiannya dipinjamkan ke beberapa kelab Perancis untuk menimba pengalaman, sebelum akhirnya berhijrah ke St. Etienne pada tahun 2011. Selepas dua tahun di sana, dia akhirnya berpindah ke Borussia Dortmund pada tahun 2013.

PELUANG AUBAMEYANG DI ARSENAL

Perpindahan Aubameyang ke Arsenal masih belum selesai dan kedua-dua pihak perlu terus berunding untuk mencapai kata sepakat. Tetapi, jika perpindahan ini sah, Aubameyang mampu menjadi komponen yang penting untuk skuad Wenger.

Sebagai seorang pemain yang serba boleh, Aubameyang bukan sahaja mampu bermain sebagai penyerang utama, malah dia boleh digunakan di bahagian sayap juga. Berikut adalah beberapa corak taktikal yang boleh digunakan oleh Wenger, sekiranya Aubameyang menyertai mereka.

4-3-2-1

Formasi ini bermaksud Lacazette akan bermain sebagai pemain simpanan, sekaligus memberi peluang kepada Aubameyang untuk menjadi titik tumpuan untuk bahagian serangan Arsenal. Formasi ini turut memberi peluang kepada Mkhitaryan dan Ozil untuk berganding di bahagian ‘attacking midfield’.

 

3-5-2

Ini merupakan formasi yang terbaik jika Wenger mahu mengandingkan Aubameyang dan Lacazette di bahagian serangan. Ozil dan Mkhitaryan akan bermain di samping Jack Wilshere di bahagian tengah, manakala Bellerin dan mungkin Iwobi boleh beraksi di bahagian sayap.

 

4-2-3-1

Wenger mengunakan formasi ini minggu lepas dan hasilnya adalah Arsenal berjaya menewaskan Crystal Palace 4-1. Aubameyang akan beraksi sebagai penyerang di bahagian sayap kiri, manakala Mkhitaryan pula beraksi di bahagian sayap kanan. Ozil akan menjadi ‘playmaker’ pasukan di belakang penyerang utama, Alexander Lacazette.

RUMUSAN

Atas kertas, Aubameyang merupakan calon yang cukup sesuai untuk menambahbaikkan bahagian serangan skuad Arsenal. Namun, terdapat dua masalah untuk Wenger ketika ini. Yang pertama adalah, Ivan Gazidis perlu memastikan bahawa proses perundingan dengan pihak pengurusan Dortmund tidak gagal. Dan masalah kedua adalah isu disiplin Aubameyang yang mungkin boleh memberi impak yang negatif terhadap bilik persalinan Arsenal.

Tetapi, jika isu-isu ini dapat ditangani dan Aubameyang berjaya dibawa ke North London, musim perpindahan ini mungkin mencetus kebangkitan yang penting untuk Arsenal dan juga karier Arsene Wenger sebagai pengurus kelab tersebut.