Malaysia Liga Super Malaysia

Corak taktikal Sathia punca Iain Ramsay pilih sertai Felda United

Bintang bolasepak Filipina, Iain Ramsay berkata bahawa corak taktikal B. Sathianathan memainkan peranan yang cukup penting dalam keputusannya untuk menyertai The Fighters untuk musim 2018.

Menurut bekas pemain Ceres Negros itu, persembahan anak buah Sathia, terutamanya di saingan Piala AFC tahun lepas, berjaya meyakinkan beliau untuk memilih kelab ini sebagai destinasi terbaru dalam kariernya.

“Saya sudah melihat corak permainan Felda United tahun lepas ketika mereka beraksi pada kejohanan Piala AFC dan saya tahu pasukan ini amat sesuai untuk saya meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional,” kata Ramsay kepada Kosmo!

“Saya juga tertarik dengan corak permainan yang dikendalikan oleh Sathianathan se­hingga pasukan ini berjaya menduduki tempat ketiga dalam carta Liga Super musim lalu.

“Saya sangat gembira bersama pasukan ini dan saya akan segera menyesuaikan diri agar keserasian antara pemain dapat dibentuk dengan lebih cepat sebelum perlawanan pertama 2 Februari depan,” tambahnya.

Musim lepas, Ramsay berjaya membantu Ceres Negros memenangi Philippines Football League, selain turut menjadi juara zonal di pentas Piala AFC.