Liga Super Malaysia

Bekas pertahanan skuad kebangsaan Australia sertai Felda United

Felda United memandang serius terhadap saingan pusingan kedua Liga Super dan juga Piala Malaysia dengan membawa masuk pemain import berpengalaman yang pernah mewakili skuad kebangsaan Australia, Dino Djulbic. Pemain yang berusia 34 tahun itu bermain untuk kelab A-League, Perth Glory FC selama 4 tahun sebelum berhijrah menyertai pasukan Felda United.

Bulan lepas beliau mengumumkan akan berhijrah ke pasukan lain melalui akaun twitternya.

Beliau juga pernah menyertai kelab China Super League, Guizhou Renhe dan kelab UAE, Al-Wahda SC. Kehadirannya dalam pasukan Felda United bagi menggantikan pemain Lubnan, Mootaz Junaidi yang gagal menampilkan aksi yang memuaskan.

Sementara itu, pengendali Felda United B. Sathianathan memandang serius dengan saingan liga super dan Piala Malaysia yang semakin sengit selepas hari raya Aidilfitri.

“Kami melihat permulaan yang baru, dengan barisan pemain baru. Cabaran Liga Super akan menjadi lebih sukar selepas ini dan kami harus bersedia menghadapinya. Tetapi terdapat perlawanan Piala Malaysia dan saya ingin berada dalam perlawanan akhir,” kata Sathianathan.

Felda kini menghuni kedudukan keenam dalam Liga Super dengan 17 mata daripada 13 perlawanan kurang 13 mata di belakang pendahulu liga, JDT.

“Kami masih ada harapan menduduki tangga keempat teratas. Tetapi JDT ialah pasukan terbaik dalam negara dengan kemudahan terbaik. Jadi, mereka adalah pasukan pilihan,” kata Sathianathan.

Felda turut membawa masuk pemain berdarah kacukan Malaysia dan Australia, Curren Singh Ferns di posisi tengah. Curren sebelum ini bermain untuk pasukan JDT dan N. Sembilan. Seorang lagi pemain kacukan dalam skuad Felda ialah Stuart Wark yang mempunyai darah campuran Malaysia dan Scotland.