Asia Liga Super Malaysia

Buriram United berminat bawa Akhyar Rashid ke Thailand?

Pemain muda Kedah, Akhyar Rashid mungkin mempunyai peluang untuk berhijrah ke luar negara kerana kelab gergasi Thailand, Buriram United dikatakan sedang memantau situasi pemain tersebut.

Pelbagai spekulasi di media sosial mengatakan bahawa persembahan Akhyar di pentas AFC B-23 tahun menarik perhatian pihak pengurusan Buriram dan menurut kata Rafdi Rashid – abang Akhyar dan juga bekas pemain Kedah – bintang muda itu sudah mula menerima panggilan daripada ejen bolasepak.

“Ada ejen menghubungi saya dan berhasrat berunding lebih lanjut mengenai peluang Akhyar menyertai kelab sekitar Asia namun masih di peringkat awal,” kata Rafdi, menurut laporan Arena Metro.

Kejayaan Malaysia melakar sejarah di pentas AFC B-23 tahun sudah mula membuka mata pelbagai ejen, ‘scout’ dan juga kelab di rantau Asia.

Baru-baru ini, rakan kami di Football Tribe Korea, Il-Han Ryu cukup tertarik dengan kebolehan anak buah Ong Kim Swee, apabila mereka mengawal tempo perlawanan ketika turun berentap dalam peringkat separuh akhir.

Selepas perlawanan tersebut, Han Ryu berkata bahawa ramai peminat bolasepak di Korea Selatan cukup tertarik dengan dua pemain Malaysia – Nor Azam Azih dan Safawi Rasid.

“Bolasepak di peringkat kelab dan di peringkat antarabangsa cukup berbeza, namun berdasarkan kejohanan ini, saya rasa Safawi Rasid dan Nor Azam Azih adalah dua pemain Malaysia yang mempunyai potensi untuk bermain di luar negara, termasuk Korea. Persembahan, tahap keyakinan dan kreativiti yang ditunjukkan oleh kedua-dua individu ini tidak boleh diperkecilkan,” kata Han Ryu.