Malaysia Berita

FIFA kini iktiraf 7 legenda Harimau Malaya

FIFA kini mengiktiraf 7 legenda bola sepak negara termasuk dengan yang terbaru, Datuk Soh Chin Ann yang disahkan sebagai pemain yang paling banyak beraksi di peringkat antarabangsa.

Menurut FAM, FIFA mengesahkan bahawa Chin Ann beraksi sebanyak 195 kali bersama skuad kebangsaan, sekali gus menjadi anggota terbaharu Kelab Abad FIFA, yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Jumlah penampilan Chin Ann yang dicatat oleh FAM adalah sebanyak 252 kali, namun FIFA hanya mengiktiraf perlawanan kategori A.

“Terima kasih FIFA dan FAM atas pengiktirafan ini,” kata Chin Ann menerusi kenyataan itu.

“Saya berasa cukup terharu atas pengesahan rekod ini….menjadi pemain dengan jumlah penampilan paling banyak dunia adalah penghargaan tertinggi buat saya.”

Tiga lagi legenda negara yang turut menjadi anggota terbaharu ialah Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M.Chandran dan Datuk Santokh Singh.

“Bukan mudah untuk diisytiharkan sebagai anggota senarai pemain yang mengumpul 100 ‘caps’ di peringkat dunia,” kata Zainal.

“Saya menganggap ia sebagai ganjaran kepada pengorbanan serta khidmat bakti saya sepanjang hampir dua dekad mewakili negara.”

Sebelum ini, tiga legenda iaitu Datuk Abdul Shukor Salleh yang mempunyai 163 penampilan antarabangsa, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan mendiang Datuk R. Arumugam (131) telah diberi pengiktirafan menganggotai Kelab Abad FIFA.

“Ia bukan sekadar statistik,” kata Shukor. “Ia bukti bahawa saya antara kelompok pemain yang menyumbang bakti kepada negara.”

Tujuh legenda Harimau Malaya diiktiraf dalam Kelab Abad FIFA

1. Datuk Soh Chin Ann – 195 penampilan

2. Datuk Abdul Shukor Salleh – 163 penampilan

3. Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari – 138 penampilan

4. Mendiang Datuk R. Arumugam – 131 penampilan

5. Zainal Abidin Hassan – 116 penampilan

6. Mendiang Datuk M. Chandran – 115 penampilan

7. Datuk Santokh Singh – 100 penampilan