Malaysia

Sarawak puji semangat Persebaya Surabaya

Pasukan Sarawak memberikan pujian kepada pemain-pemain Persebaya Surabaya selepas mereka menunjukkan semangat tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan 2-0 dalam perlawanan persahabatan ‘Blessing Game’ semalam.

Skuad Bujang Senang mendahului 2-0 pada separuh masa kedua selepas pemain import mereka, Mateo Roskam menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-54 dan 59. Namun, pasukan tuan rumah yang beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Utama Gelora Bung Tomo, pantas merapatkan jurang seminit kemudian menerusi Oktafianus Fernando. Persebaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusia pemain pertahanan Otavio Dutra.

“Persebaya menampilkan permainan yang menarik hari ini (semalam). Mereka terus mencuba untuk menembusi gawang kami. Semangat dan usaha mereka untuk berjuang sehingga wisel penamat perlu dipuji,” kata ketua jurulatih Sarawak, Andrew Gillan kepada laman web rasmi Persebaya.

Apa yang penting bagi Andrew adalah anak buahnya mampu mengambil pengajaran daripada perlawanan ini untuk kempen Liga Premier mereka pada musim ini.

Pujian turut diberikan oleh ketua pasukan Sarawak Khairul Mokhtar buat skuad yang terkenal dengan julukan The Green Force atau Bajul Ijo ini.

“Bagi saya, perlawanan tadi sangat menarik walapun Persebaya ketinggalan 2-0 terlebih dahulu.

“Mereka mahu meraih kemenangan buat penyokong mereka. Pemain-pemain Persebaya bermain penuh semangat. Pasukan Sarawak mendoakan kejayaan Persebaya dalam aksi Liga 1 Indonesia nanti.”

Sarawak berkunjung ke Surabaya ekoran liga dihentikan sementara bagi memberikan laluan kepada perlawanan antarabangsa. Sarawak kini berada di tangga keempat Liga Premier selepas memungut lapan mata daripada lima perlawanan. Dua kemenangan dicatatkan Sarawak ketika menentang PDRM dan Kuantan FA. Skuad Bujang Senang akan menanti kunjungan MISC-MIFA dalam perlawanan seterusnya pada 30 Mac nanti.