Berita Asia

Mateo Roskam tunjuk taring, Sarawak ikat Persebaya Surabaya

Buaya sama kuat.

Pertembungan dua pasukan dengan maskot buaya berakhir dengan seri. Sarawak atau lebih dikenali sebagai skuad Bujang Senang berjaya mengikat Persebaya Surabaya 2-2 dalam perlawanan persahabatan ‘Blessing Game’ yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya petang tadi.

Sarawak yang beraksi di Liga Premier berjaya mendahului 2-0 di separuh masa kedua selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama. Pemain import Sarawak, Mateo Roskam berjaya membuka jaringan pada minit ke 54 menerusi tandukan cantik menewaskan penjaga gol Persebaya, Alfonsius Kelvan.

Mateo Roskam sekali lagi membolosi gawang Bajul Ijo selepas menyempurnakan hantaran daripada Benedict Martin pada minit ke-59 untuk menjarakkan kedudukan buat Sarawak. Namun, Persebaya berjaya merapatkan kedudukan seminit selepas itu menerusi Oktafianus Fernando.

Kerja keras pasukan tuan rumah akhirnya berhasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-92 menerusi jaringan Otavio Dutra sekaligus menggembirakan penyokong tuan rumah.

Perlawanan ‘Blessing Game’ ini diadakan sempena persiapan skuad Persebaya Surabaya menghadapi Liga 1 Indonesia dan Piala Indonesia. Selain itu, Persebaya turut melancarkan jersi baru mereka sebelum perlawanan bermula.