Luar Negara

Ekslusif: Baihakki sah dipinjamkan oleh Muangthong, bakal beraksi untuk Udon Thani

Bintang bolasepak Singapura, Baihakki Khaizan telah mengesahkan bahawa dia telah dipinjamkan ke kelab Thai Division One, Udon Thani FC untuk musim 2018.

Bekas pemain Johor Darul Ta’azim itu menyertai Muangthong United beberapa minggu lepas, selepas hampir berhijrah ke Kuala Lumpur.

Namun, perebutan slot kesebelasan pertama di Muangthong agak kompetitif dan Baihakki akhirnya membuat keputusan untuk menerima tawaran Udon Thani, sebuah kelab yang berfungsi sebagai ‘feeder club’ untuk Muangthong.

“Saya cukup gembira untuk menyertai Udon Thani. Kelab ini beroperasi sebagai ‘feeder club’ untuk Muangthong dan mereka mempunyai aspirasi yang cukup besar di Thai Division One musim ini,” kata Baihakki kepada Football Tribe Malaysia.

“Muangthong merupakan sebuah pasukan gergasi yang penuh dengan kualiti, dan bukan mudah untuk diberi slot kesebelasan utama dengan kerap. Fokus utama saya ketika ini adalah untuk bermain dengan konsisten, jadi apabila saya menerima tawaran Udon Thani, saya membuat keputusan untuk menyertai mereka.

“Kerana mereka beroperasi sebagai ‘feeder club’, tidak banyak perbezaan di antara kedua-dua kelab dari segi fasiliti. Kami tetap menggunakan pusat latihan Muangthong dan skuad Udon Thani mengandungi lima bekas bintang skuad kebangsaan Thailand, termasuk Datsakorn Thonglao.

“Saya cuku teruja untuk mengharungi musim 2018 bersama Udon Thani!” tambah Baihakki, yang turut menjalani sesi trial bersama Jeddah Club di Arab Saudi pada bulan Disember lepas.

Baihakki mula menarik perhatian peminat bolasepak Malaysia apabila membantu LionsXII meraih gelaran Liga Super pada tahun 2013. Dia kemudiannya menyertai JDT pada tahun 2013, sebelum diterapkan ke dalam skuad JDT II sepanjang musim 2015 dan 2016.