Liga Super Malaysia Berita

K Rajagobal: Saya mahu jadi jurulatih di luar negara

Bekas jurulatih kebangsaan, K Rajagobal sedang berusaha untuk mencari peluang menjadi jurulatih di luar negara, selepas 30 tahun berkhidmat di Malaysia.

Malah, beliau hampir menjadi jurulatih kelab Liga India, Chennaiyin FC namun tidak kesampaian selepas kelab itu melantik bekas jurulatih Bolton Wanderers, Owen Coyle sebagai pengendali baharu.

“Sejujurnya, saya memang berminat membimbing kelab di luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara. Antara yang menarik minat saya adalah kelab ISL iaitu Chennayyin FC,” katanya kepada Sinar.

“Saya sepatutnya pergi ke India untuk melihat situasi di sana. Malah, pegawai-pegawai kelab itu juga mengetahui kedatangan saya. Namun, setelah jurulatih Chennayyin FC meletakkan jawatan, pihak pengurusan kelab itu telah melantik jurulatlih baharu, Owen Coyle.

“Situasi itu menyebabkan saya terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana. Mungkin tiada rezeki saya melatih kelab itu.”

Bagaimanapun, Rajagobal tetap tidak berputus asa untuk melatih kelab mahupun skuad kebangsaan di negara lain.

“Saya rasakan mungkin saya patut cuba nasib di luar negara khususnya di rantau Asia Tenggara. Namun, ia akan dibuat dengan teliti agar tidak menganggu persiapan mana-mana pasukan yang sudahpun memiliki jurulatih.”

Sepanjang 30 tahun kariernya di Malaysia, pencapaian terbesarnya adalah membantu skuad kebangsaan memenangi Piala AFF Suzuki 2010, buat pertama kali dalam sejarah.

Jurulatih berusia 63 tahun itu membuat keputusan untuk tidak meneruskan kariernya di PKNS FC, selepas pasukan itu bertukar status sebagai pasukan bantuan dan dijenamakan kepada Selangor II.