Malaysia Liga Super Malaysia

Bekas pemain Selangor ini mahu FAS bergerak bebas

Bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri menganggap peletakan jawatan Datuk Seri Subahan Kamal selaku presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebagai satu berita gembira dalam kalangan penyokong Red Giants.

Katanya, pengunduran Subahan merupakan masa terbaik untuk Selangor dijenamakan semula selepas beberapa tahun dihimpit dengan pelbagai isu politik dan kontroversi yang tidak berkesudahan.

Malah pada masa yang sama, Asmawi juga mahu melihat FAS menjadi badan bola sepak yang mampu bergerak bebas tanpa tekanan mana-mana pengaruh parti politik dan mengharapkan penglibatan bekas-bekas pemain mampu membantu pasukan, terutamanya dalam soal pembangunan akar umbi bola sepak negeri itu.

“Bukan saya sahaja yang menantikan perkhabaran ini, malah seluruh warga Selangor. Jika dilihat, keputusan Subahan itu memberi ruang untuk pembaharuan bola sepak Selangor dan memang sepatutnya itu berlaku.

“Daripada segi bola sepak, Selangor memiliki segalanya, termasuk stadium dan pembangunan pemain muda. Jadi, sepatutnya perkembangan ini tidak boleh hilang daripada perancangan,” katanya kepada Astro Arena.

Tambahnya, FAS perlu memastikan sokongan daripada semua pihak kukuh, termasuk daripada kerajaan negeri, malah beliau berpandangan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Raja Muda Selangor merupakan antara pilihan terbaik bagi menerajui FAS.

“Bagi saya, nama Tengku Amir Shah yang disebut-sebut untuk menggalas tugas itu juga mampu memberikan tonik baru buat skuad Selangor,” katanya.