Malaysia Berita

Selepas Ken Ilso, Jafri Firdaus mahu Pulau Pinang bertanggungjawab

Selepas Ken Ilso meninggalkan Pulau Pinang dua minggu lalu disebabkan tidak menerima sebarang gaji sejak tiga bulan lalu, hari ini seorang lagi bekas pemain Pulau Pinang iaitu Jafri Firdaus Chew tampil mendedahkan masalah yang sama dihadapinya.

Jafri yang kini beraksi untuk PKNS FC berkata, beliau sudah mati akal dengan sikap pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang seolah-olah lepas tangan mengenai isu ini walaupun sudah banyak kali beliau menyuarakannya.

Katanya, walaupun jumlahnya tidak seberapa iaitu tunggakan gaji untuk bulan Oktober dan November tahun lalu, namun beliau tetap mahu FAP menunaikan janji mereka.

“Sudah banyak kali saya bersuara mengenai isu ini sama ada secara berdepan mahupun menerusi media, namun tidak ada maklum balas daripada FAP.

“Saya sudah membuat laporan rasmi kepada PFAM dan menyerahkan kepada mereka untuk menguruskannya. Saya difahamkan pihak PFAM sudah memulakan langkah untuk menuntut hak saya, tapi sampai sekarang belum ada berita positif.

“Jika tiada penyelesaian, saya tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membawa kes ini ke Jawatankuasa Status FAM, ini jalan terakhir bagi mendapatkan hak saya,” katanya kepada Berita Harian.

Selain Jafri, beberapa bekas pemain Pulau Pinang seperti K. Reuben, Faizat Ghazli, Failee Ghazli dan Rafiudin Rodin turut berdepan masalah sama dan telah membuat aduan secara rasmi kepada PFAM.

Seorang lagi bekas pemain import Pulau Pinang, Reinaldo Lobo, beliau juga dilaporkan sudah membuat laporan kepada FIFA susulan kegagalan FAP menyelesaikan tunggakan gajinya.