Liga Super Malaysia Berita

Kuala Lumpur boleh ambil teladan kisah kebangkitan Sharbinee Allawee

Kisah kebangkitan yang cukup menakjubkan.

Pada musim lalu, dia telah dikesan menghidap penyakit kanser paru-paru dan perlu berehat panjang. Ekoran apa yang terjadi, dia telah dilepaskan oleh pasukan Terengganu yang ketika itu bersaing di Liga Perdana. Tapi semalam, dia telah diumumkan secara rasmi menyertai Kuala Lumpur.

Itulah kisah Sharbinee Allawee, seorang penjaga gol yang suatu ketika dahulu bersaing rapat dengan Khairul Fahmi dan Farizal Marlias untuk merebut tempat selaku penjaga gol skuad kebangsaan.

Kebolehan Sharbinee memang tidak dapat dinafikan lagi. Kehebatannya menjaga gawang telah banyak membantu Terengganu dan Selangor, tetapi yang paling diingati pastinya kejayaannya membantu skuad bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2009.

Pemain seperti Sharbinee ini sebenarnya sesuai untuk dijadikan teladan oleh pemain-pemain Kuala Lumpur. Kebangkitan yang ditunjukkan oleh Sharbinee untuk kembali beraksi seharusnya memberi semangat untuk City Boys kembali bangkit selepas kekalahan kepada Pahang.

Banyak yang boleh dipelajari oleh dua penjaga gol muda Kuala Lumpur, Solehin Mamat dan Khatul Anuar. Sharbinee sendiri pernah dikritik oleh ketua jurulatihnya sendiri Peter Butler suatu ketika dahulu. Jadi dia pastinya tahu bagaimana rasanya dikritik begitu teruk kerana kesilapan dan bangkit semula. Mungkin dengan ilmu daripada Sharbinee, Solehin dan Khatul akan menunjukkan aksi yang lebih mantap.

Dalam banyak-banyak perlawanan musim ini, mungkinkah Sharbinee ditakdirkan membuat ‘comeback’ bertemu pasukan lamanya pada hari Sabtu ini? Jika dia berjaya membantu Kuala Lumpur menang ke atas Terengganu Sabtu ini, itulah sebenar-benarnya kebangkitan buat insan bernama Sharbinee Allaweee.