Malaysia Liga Super Malaysia

Novillo dan Santos tunjuk prestasi hambar, JDT bakal cari pemain import baru?

Baru sahaja sertai pasukan dan beraksi dalam beberapa perlawanan sudah bakal digugurkan?

Itulah nasib yang mungkin menimpa salah seorang daripada dua pemain import baru Johor Darul Ta’azim (JDT), Harry Novillo dan Jorge Santos Silva. Kedua-dua pemain di ambang bahaya apabila kuat khabar mengatakan JDT mahu membawa masuk pemain import baru untuk memperkuat pasukan.

Pada hari Selasa lalu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau juga dikenali sebagai TMJ, telah mengeluarkan kenyataan seakan mengkritik dua pemain import itu.

“Kami telah memilih dua orang pemain asing yang saya percaya tidak lebih baik daripada pemain tempatan.

“Walaupun selepas menandantangani pemain untuk nilai berjuta-juta ringgit, jika saya melihat pemain-pemain itu tidak beraksi dengan baik selepas beberapa perlawanan, mereka boleh pergi dan saya akan mencari pengganti buat JDT.”

JDT dikhabarkan akan membawa masuk penyerang import dari Argentina, Fernando Marquez yang beraksi untuk kelab di liga utama Argentina, Defensa y justice selepas dipinjamkan daripada kelab Belgrano.

Setakat ini dia sudah menjaringkan lima gol daripada sembilan penampilan untuk kelab tersebut.

Adakah penyerang berusia 30 tahun ini mampu mencipta impak yang sewajarnya untuk bersama JDT atau akan terus menjadi pemain import yang gagal memberikan sebarang hasil? Setakat ini, penyerang import yang benar-benar berjaya memberikan impak kepada JDT adalah Luciano Figueroa. Selepas persaraan Figueroa, nampaknya JDT agak bergelut untuk mencari pengganti yang sama hebat dengan pemain Argentina itu.