Malaysia Liga Super Malaysia

Melaka United bakal tamatkan kontrak dua pemain import

Melaka United bakal menamatkan kontrak pemain tengah import Portugal, Tiago Gomes bagi memberi ruang kepada pemain baharu.

Pengurus Melaka, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, seorang pemain import baharu dari Korea Selatan akan dibawa masuk setelah dipersetujui oleh jurulatih pasukan, E Elavarasan.

Katanya, Melaka tidak boleh menunggu terlalu lama bagi memilih pemain baharu memandangkan kedudukan pasukan kini masih dalam bahaya iaitu di tangga ketiga terbawah liga.

“Pengambilan pemain Korea Selatan itu diharap dapat membentuk kekuatan baharu buat pasukan selepas prestasi kurang cemerlang Gomes walaupun sudah diberikan ruang.

“Elavarasan juga sudah melakukan transformasi terhadap pemain sedia ada apabila berjaya mendapatkan keputusan seri dengan Perak 0-0 dan PKNS 1-1 namun hanya tewas 1-0 kepada Terengganu.

“Namun dalam kalangan pemain sedia ada, ia tidak menampakkan impak besar yang boleh dibanggakan.

“Sebab itu, kita memerlukan pemain baharu untuk memperkasakan pasukan, walaupun sekadar menukar satu dua pemain,” katanya kepada Berita Harian.

Pada masa yang sama, Mohd Yusoff juga mengesahkan Melaka juga sedang meneliti keupayaan seorang penyerang baharu dari Nigeria untuk diserap ke dalam pasukan berkenaan.

Katanya, jika pemain itu didapati lebih baik daripada pemain sedia ada, kontrak pemain Belarus, Yahor Zubovich juga akan ditamatkan.

“Semuanya terpulang kepada Elavarasan untuk menentukan masa depan penyerangnya sama ada terus beraksi bersama pasukan atau sebaliknya,” katanya.

Ketika ini Melaka berada di tangga ke-10 selepas mengumpul 11 mata, beza tiga mata dengan Kelantan dan Negeri Sembilan yang masing-masing menduduki tangga ke-11 dan ke-12 dengan mengumpulkan lapan mata.