Luar Negara

Rasmi: Pierre-Emerick Aubameyang sah sertai Arsenal

Arsenal telah secara rasmi melengkapkan perpindahan penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang daripada kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund.

Perkara ini diumumkan oleh kedua-dua kelab melalui laman web rasmi mereka petang ini dan nombor rasmi Aubameyang akan didedahkan dalam masa terdekat.

Penyerang Gabon itu berjaya menjaringkan 172 gol dalam 213 perlawanan untuk Borussia Dortmund, termasuk 98 gol dalam 144 perlawanan Bundesliga.

Berita ini bermaksud Aubameyang akan disatukan kembali dengan bekas rakan sepasukannya di Dortmund, Henrikh Mkhitaryan.

Bintang Armenia itu turut berhijrah ke Arsenal bulan ini, selepas Alexis Sanchez dibenarkan untuk berpindah ke Manchester United.