Jika hati anda berdebar-debar semenjak minggu lepas, jangan risau. Kami di Football Tribe Malaysia turut mengalami situasi yang sama. Percaya atau tidak, musim Liga Super Malaysia 2018 akan bermula pada hujung minggu ini!
12 pasukan, termasuk juara bertahan, Johor Darul Ta’azim akan turun beraksi pada hari Sabtu dan Ahad ini dan sekaligus memulakan kempen Liga Super mereka dengan motif, aspirasi, cabaran dan dugaan yang berbeza.
Debaran untuk musim baru ini lebih unik kerana buat kali pertama, Liga Super Malaysia akan mengalami beberapa perubahan ketara yang akan membantu menarik lebih banyak perhatian terhadap kancah bolasepak tempatan.
Berikut adalah 10 faktor yang bakal menjadikan musim Liga Super 2018 lebih hangat, menarik dan yang peling penting, mengujakan untuk jutaan peminat di seluruh tanah air!
MISI JDT UNTUK CIPTA SEJARAH
Walaupun tewas besar di tangan Muangthong United tempoh hari, Johor Darul Ta'azim akan tetap memulakan kempen Liga Super 2018 sebagai pasukan pilihan ramai untuk menjadi juara sekali lagi. Kepulangan Hariss Harun, Luciano Figueroa dan juga Jorge Pereyra Diaz dijangka akan menjadikan JDT lebih kuat berbanding skuad musim lepas dan ini juga merupakan peluang terbaik untuk Ulisses Morais membentuk sebuah pasukan berdasarkan falsafahnya. Jika empat kejuaraan liga berturut-turut meletakkan JDT di mata Asia, tahun ini bakal memberi peluang kepada mereka untuk melakar satu lagi sejarah - menjadi juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut.
KUOTA ASEAN
Walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan kuota pemain import ASEAN yang diperkenalkan, hakikatnya adalah, penyertaan pemain-pemain dari Asia Tenggara bakal menjadikan Liga Super 2018 lebih seronok. Peminat bolasepak Indonesia sudah tidak sabar untuk melihat impak Evan Dimas dan Ilham Udin di Selangor. Faris Ramli, Madhu Mohana, Shahdan Sulaiman dan juga Hariss Harun pula akan menarik tumpuan rakyat Singapura terhadap liga kita. Manakala Chan Vathanaka, pemain Cambodia yang cemerlang ketika bertemu dengan skuad kebangsaan Malaysia di pentas Piala AFF Suzuki pada tahun 2016, akan mengemudi jentera serangan Pahang sepanjang musim ini.
KEBANGKITAN KUALA LUMPUR
Kuala Lumpur mempunyai posisi yang unik dalam sejarah bolasepak Malaysia dan musim ini, buat kali pertama sejak 2012, City Boys akan kembali beraksi di Liga Super. Selepas tiga-empat tahun bergelut dengan prestasi buruk, masalah kewangan dan juga isu-isu luar padang, kebangkitan Kuala Lumpur tercetus musim lepas, apabila mereka berjaya menjadi juara Liga Premier. Untuk kempen Liga Super tahun ini, mereka telah berjaya membawa masuk nama-nama seperti Indra Putra, Zaquan Adha dan juga Saiful Nizam Miswan. Nama-nama ini bukan sahaja menjanjikan kualiti, malah mereka turut mempunyai pengalaman yang mungkin mampu memainkan peranan yang cukup besar untuk skuad Fabio Magrao. Oh dan jangan lupa, Guilherme de Paula masih bersama City Boys!
SLOT LIGA JUARA-JUARA ASIA (ACL)
Ini merupakan satu lagi faktor yang bakal menjadikan Liga Super 2018 lebih seronok. Jika dua pasukan Malaysia diberi slot Piala AFC semenjak beberapa tahun lepas, juara Liga Super tahun ini akan diberi peluang beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019. Atas kertas, JDT jelas merupakan pasukan terkuat di Malaysia tetapi jika mana-mana pasukan lain berjaya mencipta kejutan dan menjadi juara Liga Super, mereka akan menjadi pasukan Malaysia pertama untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia tahun depan.
KERJASAMA FMLLP DAN IFLIX
Perkara ini boleh dilabel sebagai kejayaan terbesar Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim sejak mengambil alih sebagai Presiden FAM tahun lepas. Melalui kerjasama di antara FMLLP dan iflix, kesemua 132 perlawanan Liga Super akan ditayangkan secara langsung untuk percuma. Anda hanya perlu membayar RM10 setiap bulan untuk menjadi pelanggan iflix, namun tiada kos tambahan untuk anda menyaksikan semua perlawanan Liga Super dan juga segala konten menarik berkenaan Liga Malaysia di saluran Football Malaysia, yang boleh didapati di platform iflix. Perkara ini bukan sahaja akan mengembalikan bola sepak kepada rakyat, malah ia akan mula menarik perhatian lebih ramai orang untuk terlibat dalam kancah bola sepak tempatan.
KEPULANGAN RAJAGOBAL
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia ini mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah bolasepak moden Malaysia. Impak yang ditinggalkan oleh Rajagobal dalam kebangkitan bolasepak Malaysia sekitar tahun 2009-2011 tidak boleh dinafikan dan impak tersebut mencetus kelahiran golongan penyokong muda dan baru untuk negara ini. Namun, sejak meninggalkan skuad kebangsaan, Rajagobal masih belum lagi kembali membuktikan dirinya. Masanya sebagai pengendali Sarawak tidak boleh digunakan untuk mengukur kebolehan sebenar jurulatih yang berumur 61 tahun ini atas banyak faktor berbeza, termasuk isu-isu dengan pihak pengurusan pasukan tersebut. Namun tahun ini, Rajagobal akan mengendalikan pasukan PKNS, yang berpangkal tidak begitu jauh dari rumahnya di Petaling Jaya. Dan skuad ini mempunyai barisan pemain yang mampu memberi cabaran tahun ini.
ANAK BUAH ONG KIM SWEE
Walaupun kita baru sahaja memasuki 2018, Bolasepak Malaysia sudah menunjukkan pelbagai tanda-tanda positif setakat ini, termasuk kejayaan skuad B-23 Malaysia di pentas kejohanan AFC B-23 tahun. Barisan pemain Datuk Ong Kim Swee berjaya melakar sejarah selepas layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama, dan impak tersebut boleh dilihat melalui perhatian yang sudah mula diberikan oleh negara-negara Asia yang lain terhadap para pemain muda kita. Safawi Rasid sedang dipantau oleh beberapa kelab Korea Selatan, manakala nama Akhyar Rashid pula sedang disebut-sebut oleh kelab-kelab Thailand seperti Buriram United. Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai pemain muda kita berhijrah ke luar negara seperti Dominic Tan dan juga Syamer Kutty tetapi buat masa sekarang, mereka bakal menjadikan Liga Super Malaysia sebuah platform yang mengujakan.
LEBIH BANYAK PERLAWANAN 'DERBY'
Musim Liga Super tahun ini bakal lebih menarik kerana penyokong akan dapat menyaksikan pelbagai perlawanan 'derby', termasuk perlawanan bersejarah di antara Selangor dan Kuala Lumpur pada 4 Februari ini. Selain itu, pertembungan di antara Negeri Sembilan dan Melaka United, Terengganu dan Kelantan, Perak dan PKNP serta Selangor dan PKNS juga akan menarik perhatian ramai. Jangan lupa, Perak juga masih perlu berentap dengan Kedah dan juga Selangor - dua lagi pasukan yang sering dilabel sebagai 'rival' untuk skuad The Bos Gaurus.
NATXO INSA BAKAL MENGGANAS?
Meskipun beraksi di separuh masa kedua musim Liga Super tahun lepas, Natxo Insa jelas membuktikan dirinya sebagai pemain terbaik di Malaysia. Namun, kita tidak seharusnya lupa bahawa bekas pemain Levante itu tidak mengambil sebarang cuti selepas tamat kempen Segunda Division di Sepanyol, dan terus memulakan kariernya bersama JDT pada bulan Jun lepas. Jika Insa mampu menunjukkan kebolehan tersebut tanpa sebarang rehat, kami cukup teruja untuk melihat persembahannya tahun ini kerana dia sempat berehat lebih daripada satu bulan selepas tamat kempen Piala Malaysia. Tambah pula, kepulangan Hariss Harun mungkin memberi lebih ruang kepada Natxo Insa untuk bermain dengan lebih positif di atas padang.
TMJ - APA LANGKAH SETERUSNYA?
2018 bakal menjadi anjakan paradigma yang penting untuk Bolasepak Malaysia dan Tunku Ismail akan menjadi titik fokus di sebalik transformasi ini. Tahun lepas, beliau terpaksa fokus terhadap proses penstabilan. Tahun ini pula, Tunku Ismail dijangka menjalankan segala proses reformasi untuk membantu penstrukturan semula Liga Malaysia. Setakat ini, beliau sudah membantu menerajui kerjasama di antara FMLLP dan iflix, selain menghantar dua pemain muda Malaysia, Syamer Kutty dan Dominic Tan ke Vilaverdense FC di Portugal. Kami tidak sabar untuk melihat langkah seterusnya yang diambil oleh Tunku Ismail.