Malaysia Liga Super Malaysia

FMLLP sah bekerjasama dengan iFlix, 132 perlawanan Liga Super bakal ditayangkan

Football Malaysia LLP secara rasmi telah mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan iFlix, peneraju hiburan terkemuka di dunia untuk pasaran baharu, untuk membawa penstriman secara langsung perlawanan Liga Malaysia.

Bermula daripada perlawanan Sumbangsih yang akan berlangsung pada 3 Februari ini, peminat bolasepak di Malaysia boleh menyaksikan kesemua 132 perlawanan Liga Super melalui saluran Football Malaysia yang akan disediakan di platform iFlix.

Selain itu, kerjasama ini turut akan menyaksikan kesemua perlawanan Piala Malaysia, tujuh perlawanan Piala FA (dari peringkat suku akhir) dan juga perlawanan Liga Premier yang terpilih (satu perlawanan setiap minggu) boleh disaksikan secara langsung di iFlix. Untuk tahun ini, kesemua perlawanan tersebut boleh disaksikan secara percuma jika anda merupakan pelanggan iflix.

“Saya percaya dan menyokong penyatuan dan kesederhanaan di negara kita. Bola sepak adalah sukan rakyat. Ia membawa kita bersama-sama, dan membantu menyatukan kita,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Rakyat Malaysia di mana sahaja patut menikmatinya tanpa sekatan. Dengan iFlix, kami menjumpai rakan dengan matlamat untuk mengembalikan bola sepak kepada rakyat dan mengembalikan kegemilangan lampau,” tambah Tunku Ismail.

Melalui kerjasama ini, iFlix juga akan melabur 300 juta ringgit untuk menghasilkan pelbagai konten menarik berkenaan Liga-M, selain menyediakan penstriman secara langsung.

“Kerjasama dengan FMLLP ini mewakili apa yang sebenarnya kami cupta iFlix untuk dicapai. Bersama-sama, kami akan mendemokrasikan permainan, menjadikan bola sepak tersedia untuk peminat buat pertama kalinya, tidak kira lokasi geografi dan status kewangan,” kata Patrick Grove, Pengerusi dan Pengasas Bersama Kumpulan iFlix.

“Kami sangat gembira untuk mencatat sejarah dalam sukan, dan memberi peminat kerusi maya paling hadapan kepada acara sukan terbaik negara, serta membantu membina masa depan bola sepak dengan memberikan akses kepada jutaan peminat berpotensi yang mana sebelum ini tidak dapat menikmati perlawanan. Buat pertama kalinya, semua pertandingan bola sepak Malaysia akan tersedia secara langsung dalam satu platform.”