Liga Super Malaysia Berita

Cheng Hoe: Safawi Rasid perlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaik

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berharap pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dapat kembali ke prestasi terbaiknya sebelum kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Beliau mengakui Safawi memerlukan ruang dan masa untuk mendapatkan semula rentak permainan selepas mengalami kecederaan di lutut kiri sewaktu menentang UiTM FC pada aksi Liga Super, Mac lepas.

“Mana-mana pemain apabila pulih daripada kecederaan memerlukan masa mencari rentak,” katanya kepada Bernama.

“Ia bukan senang dan ia memang agak sedikit kekok. Tetapi dia sudah mula beraksi dalam satu atau dua perlawanan dan ia bagus untuk kembalikan keyakinan.

“Kita harap Safawi dapat beri sesuatu, saya yakin beliau mampu menyerlah dalam perlawanan akan datang.”

Selepas dipinjamkan ke kelab profesional Liga Portugal Portimonense S.C musim lepas, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu kembali bersama JDT untuk membantu skuad Harimau Selatan mengharungi musim 2021.

Namun, prestasi Safawi terbantut seketika apabila diketepikan antara dua hingga tiga minggu akibat kecederaan dialami sebelum kembali dimasukkan sebagai pemain gantian dalam dua aksi terakhir Liga Super JDT menentang Sri Pahang FC dan Terengganu FC.

Cheng Hoe bagaimanapun enggan meletakkan tekanan kepada jurulatih pasukan Liga Malaysia dengan mengharapkan barisan pemain kebangsaan diberikan peluang beraksi bersama pasukan masing-masing.

Beliau berkata meskipun minit permainan amat diperlukan untuk persiapan fizikal dan mental pemain, mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada jurulatih pasukan masing-masing, sebaliknya perlu berusaha memastikan kecergasan sentiasa pada tahap terbaik.