Liga Super Malaysia Berita

Piala AFC: Kedah, Terengganu beraksi di Singapura akhir bulan Jun

Saingan peringkat kumpulan AFC 2021 bagi zon ASEAN membabitkan Kedah dan Terengganu telah dipinda ke tarikh baharu, menurut AFC.

Katanya, perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 22 hingga 28 Jun dijadualkan berlangsung pada tarikh baharu iaitu 29 Jun hingga 5 Julai bagi saingan Kumpulan H, manakala Kumpulan I pula bermula pada 30 Jun hingga 6 Julai.

Keputusan berkenaan dibuat setelah mendapat pengesahan jadual baharu pertandingan kelab utama benua, saingan playoff Liga Juara-Juara AFC (Timur) yang ditetapkan pada 22 Jun dan keputusan perlawanan peringkat awal membabitkan pasukan dari Zon ASEAN.

Perlawanan bagi Kumpulan H dan I dijadualkan berlangsung di Singapura manakala baki perlawanan Kumpulan G akan dimaklumkan kemudian.

Kedah selaku naib juara Liga Super musim lalu diundi dalam Kumpulan H bersama Lion City Sailors FC dari Singapura, Saigon FC dari Vietnam dan satu lagi pasukan ditentukan melalui playoff bulan depan.

Sementara Terengganu pula bersaing dalam Kumpulan I terdiri daripada Geylang International FC (Singapura), Kaya FC-Iloilo (Philippines) dan satu pasukan playoff.