Liga Super Malaysia Berita

Stuart: FAM tidak berat sebelah, tidak tunduk kepada tekanan netizen

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mempertahankan persatuan yang diwakilinya, meskipun sering dianggap ‘berat sebelah’.

Beliau berkata, FAM sentiasa bertindak sebagai ‘orang tengah’ dan segalanya dilakukan secara telus termasuk keputusan melibatkan mutu pengadilan ataupun kelakuan pemain.

Malah katanya, sesuatu hukuman serta keputusan juga dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak termasuk netizen menerusi media sosial.

“Kalau kita mengikut tekanan daripada netizen setiap perlawanan kita perlu ambil tindakan, saya rasa FAM tidak begitu,” katanya kepada Bernama.

“Segala yang dilaporkan FAM dan tindakan ke atas pengadil atau pemain semua diterangkan dengan jelas, tiada yang disembunyikan.

“Tugas FAM adalah untuk kekal tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak atau dalam apa jua situasi, kita ambil kedudukan tengah untuk memastikan keputusan dibuat dengan betul.”

Stuart juga mendedahkan FAM sentiasa mendapatkan pandangan daripada setiap jawatankuasanya yang terlibat selain mekanisme pelaksanaan hukuman mengikut prosedur yang betul.

“Tetapi ada keputusan yang diambil secara dalaman, namun kita masih mengikut undang-undang permainan.”