Liga Super Malaysia

Guilherme de Paula: Bintang Kuala Lumpur yang mempunyai misi yang besar untuk 2018

Penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula tekad mahu menjadi penjaring terbanyak di Liga Super Malaysia musim ini.

Guilherme berjaya meledak 30 gol untuk skuad The City Boys sepanjang 2017 dan dia mahu meneruskan momentum tersebut tahun ini demi membantu Kuala Lumpur memberi cabaran yang sengit.

“Di minda saya ketika ini, saya mempunyai sasaran dan saya mahu menjadi penjaring terbanyak sekali lagi,” kata Guilherme, menurut laporan Arena Metro.

“Saya tahu ia sukar tapi saya akan cuba memberikan yang terbaik. Untuk menjadi penjaring gol terbanyak, saya memerlukan rakan sepasukan untuk membantu dan kami mempunyai beberapa pemain baharu yang bagus seperti Indra (Putra Mahayuddin) dan Zaquan (Adha Radzak).

“Tapi saya juga akan membantu pemain lain untuk menjaringkan gol, kami berada dalam satu pasukan dan ia bukan mengenai saya seorang,” tambah penyerang yang berusia 31 tahun itu.

Misi Guilherme akan bermula pada hari Ahad ini, apabila Kuala Lumpur turun berentap dengan Selangor di Stadium Cheras untuk membuka tirai kempen Liga Super masing-masing.