Liga Super Malaysia

Dua bintang muda skuad B-23 Malaysia mungkin sertai Kuala Lumpur

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel telah mengesahkan bahawa pasukannya berminat membawa masuk dua pemain muda daripada skuad B-23 Malaysia yang baru sahaja melakar sejarah di China.

Dua pemain tersebut adalah Syazwan Andik, beraksi dengan cukup cemerlang sebagai ‘wing-back’ kiri untuk skuad OKS, dan juga Adib Zainuddin, salah satu pemain simpanan Malaysia di pentas Piala AFC B-23 tahun.

“Saya sangat berminat dengan kedua-dua pemain ini. Kedua-duanya memiliki kontrak bersama pasukan masing-masing sebelum ini,” kata Fabio, menurut laporan Astro Awani.

Syazwan Andik bermain untuk pasukan JDT II musim lepas, manakala Adib Zainuddin pula membantu Felcra FC menjadi juara Piala FAM.

Jurulatih yang berasal daripada Brazil itu turut mendedahkan bahawa Mahali Jasuli turut berada di dalam radar pasukan The City Boys, selepas kontrak pemain tersebut tidak disambung oleh JDT.

“Dia seorang pemain yang berkualiti, saya mengenalinya sejak mengendalikan Timor Leste. Kehadiran Mahali disambut baik dan kami akan berusaha mendapatkan khidmatnya,” tambah Fabio.