Masa depan Adib Zainuddin bersama FELCRA akan diselesaikan dalam masa terdekat apabila wakil kelab itu tiba di China untuk mengadakan rundingan bersama pemain tersebut.
Adib kini berada di China bersama skuad B-23 Malaysia untuk kejohanan AFC B-23 tahun, namun masa depannya di kancah bolasepak Malaysia masih belum ditentukan.
Walaupun pasukan Liga Premier itu mahu mengekalkan Adib untuk musim 2018, mereka turut bersedia melepaskan pemain itu sekiranya dia menerima tawaran yang lebih baik.
“Buat masa ini, tiada kepastian mengenai kedudukannya tetapi berdasarkan pengetahuan saya, dia belum lagi menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan,” kata Timbalan presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad kepada Arena Metro
“Jadi, saya akan pergi ke China, 13 Januari ini untuk memberi sokongan kepada skuad B-23 dan pada masa sama, saya akan duduk berbincang bersama Adib dan kita tunggulah keputusan rundingan itu nanti.
“Apapun, jika ada pasukan yang memberi tawaran lebih menarik untuk khidmatnya, saya tidak akan menghalang malah menggalakkan menyertai pasukan yang lebih baik,” tambah beliau.