Malaysia Liga Super Malaysia

Adib Zainuddin: Saya belum menerima tawaran daripada Johor DT

Kapten pasukan B-22 Malaysia, Adib Zainuddin telah menepis laporan yang mengatakan dia sudah menandatangani kontrak bersama pasukan Johor DT.

Semalam, beberapa portal sukan Malaysia melaporkan bahawa Adib akan berhijrah ke selatan tanah air selepas kontrak beliau dengan Felcra FC tamat. Namun, pemain berusia 22 tahun itu telah menjelaskan situasinya dan mendedahkan bahawa dia belum lagi menerima sebarang tawaran setakat ini.

“Setakat ini tidak ada hitam putih, saya belum terima tawaran atau berbincang dengan mana-mana pasukan lagi termasuk Johor DT. Pada saya apa yang dihebohkan itu hanya khabar angin,” kata beliau kepada Arena Metro.

“Kontrak saya bersama FELCRA akan tamat Disember ini dan belum ada perbincangan lagi. Fokus saya sekarang adalah perlawanan separuh akhir Piala FAM menentang Sime Darby esok.

“Saya masih belum tahu kedudukan saya selepas ini, sama ada kekal atau tidak dengan FELCRA. Tapi apa yang menjadi keutamaan saya ketika ini adalah untuk membantu pasukan layak ke Liga Perdana terlebih dulu.”

Felcra berjaya menewaskan Terengganu City FC 2-1 secara agregat dalam suku akhir Piala FAM dan jika mereka berjaya menewaskan Sime Darby dan mara ke final, Adib dan rakan sepasukannya akan menempah slot Liga Perdana 2018 secara rasmi.