Liga Super Malaysia Berita

Sabah bakal tubuh Akademi Bung Moktar Radin

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) merancang untuk menubuhkan sebuah akademi untuk mengesan dan mencungkil bakat pemain dari akar umbi negeri itu.

Naib Presiden SAFA, Datuk Suhaimi Nasir berkata, sekiranya akademi itu ditubuhkan, ia akan dikenali sebagai Akademi Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, SAFA akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Sabah (SSC) dan Jabatan Pendidikan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani tidak lama lagi.

“Akademi ini akan mengasah bakat pemain berusia antara 12 hingga 18 tahun,” katanya kepada NST.

Penolong setiausaha agung SAFA, Azman Mastar berkata pihaknya telah beberapa kali bertemu dengan SSC untuk membincangkan rancangan untuk membentuk sebuah akademi di negeri ini, memandangkan SSC juga terlibat dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Idea itu muncul setelah beberapa kali pertemuan antara pihak-pihak yang berkenaan.

“SAFA mempunyai kemudahan untuk menjalankan program ini. Kami juga telah mengadakan kejohanan peringkat umur di negeri ini.

“Kami berharap jurulatih negeri akan menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pembangunan persatuan dalam masa terdekat.”

Katanya lagi, SAFA akan berusaha untuk memperkuatkan program bimbingan mereka dan menyediakan peralatan sukan untuk akademi.