Berita AFC Champions League

Mora: Pemain JDT seolah-olah hilang semangat selepas dibolosi pihak lawan

Benjamin Mora mengakui pasukan JDT seolah-olah hilang keyakinan apabila dibolosi oleh Pohang Steelers ketika tewas 2-0 pada pusingan kedua saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 semalam.

Katanya, pemain JDT bermain dengan baik sepanjang 30 minit pertama perlawanan apabila mampu memberi tekanan kepada barisan pertahanan Pohang.

“Namun apabila lawan menjaringkan gol, segala-galanya berubah,” katanya kepada Berita Harian.

“Terutamanya emosi dan mental pemain seolah-olah hilang untuk bersaing dalam perlawanan itu apabila mereka bagaikan hilang semangat dan corak permainan juga tidak tersusun.

“Kami cuba beri tentangan dan berusaha untuk bangkit namun tidak berhasil tatkala menentang Pohang yang juga pasukan hebat dan mereka beraksi dengan menyusun dan mengatur taktikal dengan baik.

“Apapun kami sudah beri yang terbaik dalam perlawanan itu dan jika dapat meraih mata sudah tentu akan melonjakkan lagi semangat pemain seperti kami lakukan ke atas Ratchaburi tapi agak sukar untuk tewaskan Pohang.”

Mora juga mengakui terkesan dengan ketiadaan Leandro Velazquez dalam kesebelasan utama pasukan.

“Leandro selalu berjaya membuat serangan berbahaya terhadap pasukan lawan.

“Saya tidak nafikan memang terasa ketiadaan dia dalam pasukan tapi kami tidak boleh terlalu bergantung kepadanya dan pemain lain harus tampil menyerlah.”