Berita AFC Champions League

ACL 2021: JDT kalah lagi

Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan kekalahan kali ketiga di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 apabila tewas 2-0 kepada Pohang Steelers sebentar tadi.

Sebelum ini, JDT tewas 1-0 kepada Nagoya Grampus pada perlawanan pembukaan, sebelum mencatatkan kemenangan 1-0 kepada Ratchaburi, namun mengalami kekalahan teruk 4-1 kepada Pohang beberapa hari lalu.

Dalam perlawanan keempat Kumpulan G, Pohang menjaringkan gol pendahuluan menerusi Lee Seong-mo pada minit ke-33 sebelum Kang Sang-woo menggandakan kedudukan empat minit kemudian, dengan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Ia juga merupakan kekalahan kedua JDT kepada Pohang selepas tewas 4-1 sebelum ini.

JDT diperkuatkan semula oleh pemain kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Radzak, La’vere Corbin Ong dan Safawi Rasid dalam kesebelasan utama selain turut dibarisi Afiq Fazail dan Arif Aiman.

Namun, Benjamin Mora tidak dapat menyenaraikan Mauricio dan Azrif Nasrulhaq kerana penggantungan.

JDT kini menduduki tangga ketiga Kumpulan G dengan tiga mata, jauh ditinggalkan oleh Nagoya dan Pohang yang masing-masing meraih 9 mata setakat ini.

Ratchaburi kekal di tangga tercorot kumpulan tanpa meraih sebarang mata.