Malaysia Berita

15 pemain muda Malaysia berpeluang sertai Cerezo Osaka tahun ini

Seramai 15 pemain muda berbakat Malaysia berpeluang untuk berlatih bersama kelab Liga J1, Cerezo Osaka tahun ini, berbanding hanya 5 pemain sebelum ini.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya menandatangani persefahaman secara rasmi bersama Presiden Kelab Bola Sepak Cerezo Osaka, Hiroaki Morishima sebagai ASEAN Activation Partner bagi tempoh satu tahun lagi.

Menerusi persefahaman ini, Hamada mengesahkan Asean Dream Project (ADP) akan terus dilaksanakan dengan kerjasama Cerezo Osaka seperti mana yang pernah dilaksanakan pada tahun 2019.

Namun bagi tahun 2021, Hamada berkata ia akan ditukar kepada Malaysia Dream Project (MDP) dan akan melibatkan peserta dari Malaysia sahaja.

Justeru, ia membolehkan 15 orang pemain muda berbakat dari Malaysia yang terpilih mewakili Malaysia untuk dihantar ke Jepun bagi menjalani latihan dan perlawanan persahabatan dibawah kendalian jurulatih kelab bola sepak Cerezo Osaka.

“Pihak kami bercadang untuk menjalankan program Malaysia Dream Project pada tahun ini untuk memberi peluang yang lebih kepada pemain dari Malaysia mendapatkan pengalaman bermain di luar negara,” kata Hamada dalam kenyataan.

“Kami berharap selepas pendemik ini selesai, program ini akan dapat dijalankan dengan baik.”

Cerezo Osaka dan Yakult Malaysia telah menganjurkan Asean Dream Project sejak 2019, yang sebelum ini memilih 5 pemain muda berbakat Malaysia untuk diberi peluang berlatih dan menimba ilmu dengan Akademi Bola Sepak Cerezo Osaka di Jepun.

Pasukan Akademi Bola Sepak Cerezo Osaka juga pernah menyertai Kejohanan SuperMokh 2019 malah turut menjadi destinasi pemain muda Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin yang kini beraksi dengan KV Kortrijk.

Seorang lagi pemain Malaysia, Anas Nadawi Shaharudin yang pernah menyertai Asean Dream Project kini beraksi dengan akademi bola sepak yang berpangkalan di Valencia, Sepanyol iaitu The Next Generation Sports.