Liga Super Malaysia Berita

Pelesenan kelab Liga Malaysia kini diuruskan oleh MFL

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya akan mengendalikan soal pelesenan kelab pasukan Liga Malaysia bermula tahun ini, yang sebelum diuruskan oleh FAM.

Beliau tidak mahu lagi mendengar masalah seperti tunggakan gaji, masalah kontrak atau pasukan yang menghadapi masalah kewangan.

Malah beliau berharap pengurusan pasukan dan pemain menyedari peranan mereka sebagai pihak berkepentingan untuk menjayakan saingan liga.

“Pasukan telah mengambil inisiatif,” kata Ghani kepada NST.

“Tetapi mereka juga perlu memahami bahawa mereka mempunyai kewajipan dan tanggungjawab … itu adalah sesuatu yang mereka tidak dapat lari.

“MFL berharap untuk tahun 2021, setelah penswastaan kelab, tidak akan ada masalah gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami tidak mahu masalah ini membahayakan peluang untuk mendapatkan lesen, yang kini berada di bawah MFL. Kami akan mengambil tindakan tegas jika ada kes.”

MFL telah pun mula mengendalikan lesen kebangsaan tahun ini apabila mengumumkan bahawa 11 pasukan Liga Super dan Premier telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen AFC bagi musim 2022, sementara 18 pasukan memohon untuk lesen kebangsaan.