Piala Malaysia Berita

Yusri Che Lah yakin Kelantan mara jika ulangi persembahan menumbangkan Kedah

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mahu anak buahnya beraksi sebagaimana mereka menumbangkan Kedah dalam aksi terakhir Kumpulan C tempoh hari. Jika mereka berjaya melakukan sedemikian, adalah tidak mustahil mereka mampu ke peringkat separuh akhir.

“Malam esok (malam ini), jika pasukan kami menggunakan kelebihan seperti dilakukan ketika bertemu Kedah, saya yakin pasukan akan memperoleh bekalan selesa untuk aksi timbal balik di Sabah,” katanya seperti dilaporkan Utusan.

Walaupun telah melakukan keajaiban apabila mejaringkan gol pada masa kecederaan seterusnya berjaya menafikan kemaraan MIFA ke peringkat suku akhir, Yusri mahu anak buahnya tidak terlalu leka dengan kejayaan lalu dan perlu bekerja keras untuk aksi seterusnya.

“Pemain hanya pelru mengingati sejarah kemenangan dalam sesuatu perlawanan untuk tempoh dua, tiga hari sahaja, dan selepas itu mereka perlu bekerja keras untuk kembali mengulangi kejayaan yang sama.”

“Jadi saya mengharapkan pemain agar lebih memberikan tumpuan dan meningkatkan mutu permainan ketika menentang Sabah,” tambahnya lagi.

Pasukan Sabah pada musim ini menunjukkan satu persembahan yang memberangsangkan. Mereka mengejutkan ramai peminat dengan menamatkan saingan peringkat Kumpulan D sebagai juara.

Sabah berkongsi statistik perlawanan bersama pasukan Liga Super, PKNS FC dengan mencatatkan 4 kemenangan, 1 seri dan hanya 1 kekalahan dan berjaya mengumpul 13 mata sepanjang saingan peringkat kumpulan.

Mereka berjaya membuktikan kesungguhan mereka dalam kancah saingan Piala Malaysia 2018 walaupun diletakkan bersama-sama finalis Piala FA 2018 selain daripada pasukan Liga Super, PKNP FC.

Pengendali Kelantan yang menyedari akan prestasi semasa Sabah yang begitu memberangsangkan telah melakukan kajian terhadap corak permainan Sabah dan telah mengenal pasti akan kekuatan Sabah.

“Saya teliti tiga perlawanan terakhir Sabah dan saya lihat pasukan itu sebuah pasukan yang cukup baik terutamanya ketika beraksi di tempat lawan.”

“Saya perlu menitikberatkan benteng pertahanan The Red Warriors kerana pasukan lawan mempunyai kekuatan pada jentera serangan,” katanya.