Piala Malaysia Berita

Azam Azih mahu Pahang catat kemenangan pertama di Stadium Darul Makmur

Skuad Tok Gajah setakat ini belum pernah mencatatkan sebarang kemenangan dalam saingan Piala Malaysia 2018 di laman sendiri, Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Berdasarkan rekod saingan di peringkat kumpulan, Pahang sekadar mencatatkan seri 1-1 menentang Sabah dan seri 0-0 ketika menentang PKNP FC. Satu lagi perlawanan menentang Selangor pula berakhir dengan tewas 1-3.

Oleh demikian, pertembungan suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) membuatkan anak buah Dollah Salleh ingin menamatkan rekod tersebut seterusnya membawa bekalan selesa sebelum aksi kedua di Larkin, 29 September ini.

Pemain tengah, Nor Azam Azih berkata perlawanan pertama ini merupakan peluang terbaik buat pasukan mereka mencatatkan kemenangan ke atas JDT atas faktor bermain di halaman sendiri.

Selain itu, harapan peminat yang mahukan skuad pantai timur itu kembali menjulang Piala Malaysia pada musin ini juga tidak mahu dihampakan dan sokongan padu mereka akan dimafaatkan sepenuhnya oleh beliau dan rakan-rakan.

Pada masa yang sama, beliau mahu pasukannya tidak bolos sebarang gol kerana ini akan memberikan kelebihan buat JDT memandangkan mereka agak cemerlang apabila bermain di Larkin.

“Sudah pasti kami mahu menang ke atas JDT kerana ia peluang terbaik untuk menewaskan lawan.”

“Seharusnya kami perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri terutama sokongan padu daripada peminat Tok Gajah yang mahu Pahang kembali menjulang Piala Malaysia musim ini.”

“Kami tidak boleh memberi ruang kepada lawan untuk membolosi gawang kerana mereka sudah pasti lebih kental di Larkin biarpun rekod pertemuan pada suku akhir Piala FA musim ini memihak kepada Pahang,” katanya.