Piala Malaysia Berita

Dua gol di tempat lawan bukan satu kelebihan – Irfan Bakti

Terengganu Football Club (TFC) bermula dengan langkah kanan apabila berjaya memenangi perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia 2018 dengan menumpaskan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam.

TFC berjaya membolosi gawang Felda United seawal minit ke-10 menerusi tandukan Nasrullah Hanif sebelum Gilberto menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Berbaki lebih kurang 10 minit masa permainan, TFC dihadiahkan sepakan penalti dan Lee Tuck tenang menyudahkannya seterusnya memberikan mereka kelebihan 2 gol di tempat lawan.

Pengurus dan juga ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti menegaskan bahawa 2 gol tersebut bukan satu kelebihan kerana mereka perlu menghadapi perlawanan timbal balik pada 28 September hadapan.

Walaubagaimanapun, Irfan mahu anak buahnya menambahkan jaringan gol pada aksi kedua nanti dan tidak akan bermain dengan corak bertahan selama 90 minit.

“Dua gol di tempat lawan bukan satu kelebihan…apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

“Tetapi kami tidak akan bermain secara bertahan bahkan akan terus mempamerkan ‘positive football’ dengan melakukan serangan bagi menokok jaringan di tempat sendiri nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.

Pada masa yang sama, Terengganu FC telah menetapkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurang satu kejuaraan pada musim ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan berusaha untuk memperbaikinya bagi mencerahkan peluang untuk menjulang Piala Malaysia.